Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

Ayat majmuk pancangan komplemen. Siri belajar Bahasa Melayu kali ini ialah mengenai topic ‘Ayat Majmuk Pancangan Komplemen’.

Soalan:
Cikgu, apakah jawapan yang tepat untuk soalan yang di bawah ini:
1.  Beliau  sedar _______ kesenangan hidup yang dikecapinya itu disebabkan oleh kekayaan yang dimiliki oleh bapanya.

A. dengan
B. tentang
C. kerana
D. akan

Daripada:
Shima, SMKBM

Jawaban:
Dengan berdasarkan pilihan jawapan yang dikemukakan, tiada jawapan yang tepat.  Perkataan yang sesuai untuk tempat kosong ialah kata hubung `bahawa’.  Hal ini dikatakan demikian kerana ayat tersebut mempunyai dua klausa. Klausa pertama ialah `Beliau sedar’. Klausa yang kedua ialah `Kesenangan hidup yang dikecapinya itu disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh bapanya.’ Apabila kedua-dua ayat tersebut digabungkan, kata hubung komplemen `bahawa’ digunakan untuk membentuk ayat majmuk pancangan komplemen.
Lihat ayat contoh yang lain:
2. Farah  sedar bahawa dirinya benar-benar  terperangkap.
Ulasan:
Ayat (2) terdiri daripada dua klausa, iaitu:
Klausa pertama: Farah sedar
Klausa kedua ialah dirinya benar-benar  terperangkap
Apabila digabungkan, kata hubung komplemen `bahawa’ digunakan.

Ayat (1) yang dikemukakan tidak boleh menggunakan kata sendi nama `akan’ atau `tentang’ kerana ayat majmuk perlu menggunakan kata hubung bukan kata sendi di tempat kosong yang disediakan. Marilah kita lihat contoh lain yang saya petik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat:

3.  Ia tidak sedar bahawa anaknya merosot dari  pangkuannya.
4. Mereka akan sedar bahawa tidak dapat tidak mereka akan memperoleh  penga­laman daripada aktiviti tersebut.
5. Ia sedar bahawa dirinya tidaklah seorang di dlm bilik itu utk berlara-lara  berterusan sahaja.
6.  Selepas daripada tangkapan, aku sedar bahawa perjuangan kita hanya perjuangan kosong sahaja.
7. Kami  sedar bahawa Allah mendahului segala-galanya apabila melihat sesuatu.
8.Baru sekarang mereka sedar  bahawa mereka tersesat.
9. Dia mulai sedar  bahawa per­buatannya itu merupakan  satu dosa besar.
10. Engkau  pun sedar  bahawa penduduk kampung ini sudah lama menyuruh aku menyingkirkan engkau dari  sini.

Sebagai kesimpulannya, kuasailah binaan ayat dalam bahasa Melayu seperti ayat dasar, ayat tunggal dan ayat majmuk. Selain itu, kuasailah penggunaan kata hubung dan kata sendi nama dalam bahasa Melayu. jika kedua-dua aspek ini dikuasai, kita akan dapat menggunakan kata sendi nama dan kata hubung yang tepat dalam ayat.

Sumber: Abdul Ghalib Yunus