Panduan Dan Tips Ujian MEdSI (MEdSI Exam Guides and Tips)

Peperiksaan atau ujian MEdSI atau nama penuhnya Malaysian Educators  Selection Inventory (MEdSI) ialah bertujuan untuk mengukur kualiti intrinsic calon guru dari segi Personaliti, Minat Kerjaya, Nilai Integriti and Kecerdasan Emosi. MEdSI telah digubal oleh Jawatankuasa Pembinaan Instrumen MEdSI yang terdiri daripada sekumpulan pakar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Maklumat yang diperolehi dari pengukuran/ujian ini digunakan untuk memilih calon guru yang sesuai untuk kemasukan ke program pendidikan di IPTA.

Peperiksaan MEdSI ini ialah salah satu ujian pemilihan untuk kemasukan ke Program Pengajian Pendidikan Lepasan STPM/Setaraf ke Institut Pengajian Tinggi Awam. Soalan-soalan dalam ujian ini berbentuk psikometrik yang mana calon akan menjawap sebanyak 300 soalan dalam tempoh 1 jam.

Kelayakan Memohon Ujian MEdSI

Calon-calon yang bercadang untuk memohon ujian MEdSI harus mempunyai kelayakan berikut iaitu lepasan STPM/setaraf untuk mengikuti PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN  dan memiliki Ijazah Sarjana Muda untuk mengikuti PROGRAM DIPLOMA PENDIDIKAN LEPASAN IJAZAH (DPLI) di IPTA.

Hanya calon-calon yang mempunyai kelayakan seperti yang  tersebut di atas akan dipertimbangkan oleh  Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (JPT, KPTM) untuk menduduki ujian MEdSI.

Struktur atau Kandungan Ujian MEdSI

Kompenen peperiksaan atau ujian MEdSI akan terdiri daripada 300 soalan dibahagikan kepada  4 bahagian seperti di bawah:
a. Bahagian 1: Personaliti (110 soalan)
b. Bahagian 2: Minat Kerjaya (60 soalan)
c. Bahagian 3: Nilai Intergriti (70 soalan)
d. Bahagian 4: Kecerdasan Emosi (60 soalan)
Soalan-soalan ujian MEdSI adalah berbentuk aneka pilihan dan jawapan anda hendaklah dihitamkan menggunakan pensel 2B. Anda dikehendaki memilih jawapan yang sesuai dengan diri anda.

Cara Untuk Mendaftar Ujian MEdSI

Lazimnya pihak KPTM akan menyiarkan iklan tawaran permohonan untuk program pendidikan di IPTA. Jika anda berminat anda boleh membuat permohonan secara online di laman web Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar , KPTM di http://upu.mohe.gov.my

MEdSI exam introductory, tips and guides for students

Panduan Dan Tips Menghadapi Ujian MEdSI

Untuk lulus dalam ujian MEdSI anda harus mempunyai nilai dalam minda dan diri sebagai seorang guru. Anda harus ingat ujian ini khasnya diadakan untuk membuat saringan untuk memilih calon-calon  yang sesuai dan selari dengan perwatakan seorang guru yang sebenar. Untuk memilih jawapan yang tepat anda haruslah bertindak dan berfikiran secara professional sebagai seorang guru.

Berikut ialah antara perkara-perkara yang barus diambil perhatian untuk menghadapi ujian MEdSI

a. Etika berpakaian 

Lelaki – berpakaian formal, sesuai dan kemas iaitu bertali leher, berseluar panjang dengan berbaju kemeja (tuck-in), memakai kasut dan berstokin. Berpakaian baju T , seluar jeans dan selipar tidak dibenarkan. Rambut mestilah pendek, kemas dan tidak mencecah kolar baju. Elakkan fesyen rambut yang keterlaluan dan berwarna.

Perempuan – berpakaian formal, sopan, kemas, sesuai dan tidak menjolok mata. Baju mesti berlengan panjang atau paras siku, tidak ketat serta tidak menunjukkan bentuk badan. Solekan dan aksesori dan pewangi hendaklah sederhana. Seperti mana lelaki  baju T, selipar dan seluar jeans adalah tidak dibenarkan. Gaya rambut yang tidak keterlaluan dan tidak diwarnakan.

b. Alat tulis yang diperlukan – Sila pastikan anda membawa alat tulis sceukupnya seperti berikut iaitu Pensel 2B, Pemadam Getah (eraser) dan pen mata bola warna hitam atau biru.

c. Dokumen yang perlu dibawa bersama anda – pastikan anda membawa bersama anda Kad Pengenalan (MyKad) atau dokumen lain yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.  Anda juga harus membawa SLIP MENDUDUKI UJIAN MEdSI. Slip ini boleh dicetak melalui laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di http://www.mpm.edu.my. Kegagalan anda membawa slip menduduki ujian MEdSI akan menyebabkan anda dihalang dari menduduki ujian.

d. Teknik Menjawap soalan MEdSI
Antara soalan yang akan anda hadapi ialah soalan yang berbentuk menyatakan tahap persetujuan anda seperti berikut:

Sangat Tidak Setuju
Tidak Setuju
Setuju
Sangat Setuju

Untuk menjawab soalan berbentuk seperti ini anda mesti jawab sama ada Sangat Tidak Setuju ATAU Sangat Setuju sahaja. Ini kerana dalam ujian MEdSI min tertinggi akan dikira dalam pengiraan markah ujian.

Anda juga mesti tahu terdapat soalan berbentuk positif dan negative. Untuk soalan seperti ini ketegasan dalam menjawab sesuatu soalan sangat diperlukan.

Contoh Soalan:
Soalan Positif: Guru tidak sepatutnya bercinta dengan pelajar – Sangat Setuju
Soalan Negatif: Sesekali guru boleh pulang awal – Sangat tidak Setuju

Cara Menyemak Status menduduki Ujian MEdSI

Anda boleh membuat semakan status menduduki ujian MEdSI di portal MPM. Sila ambil perhatian dengan tarikh semakan status menduduki ujian MEdSI semasa iklan tawaran permohonan dan makluman oleh pihak JPT, KPTM di media. Sebarang pertanyaan anda boleh berhubung terus dengan pihak Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88706755/6766 atau di laman web http://upu.mohe.gov.my

Semakan Status Calon Untuk Sesi Temuduga (jika berjaya melepasi ujian bertulis MEdSI)

Semakan panggilan temuduga biasanya akan disiarkan di laman web Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, KPTM di laman web http://upu.mohe.gov.my atau hubungi mereka di talian 03-88706755/6766.

Kepada yang akan menduduki ujian MEdSI kami mengucapkan semoga berjaya. Semoga Pengenalan, Panduan dan Tips Ujian MEdSI ini dapat membantu anda sedikit sebanyak  untuk menghadapi ujian MEdSI.