Cara MEMBUKA Pusat Jagaan Kanak-Kanak (NURSERY) Di Malaysia

Menurut National Key Result Area (NKRA) yang juga lebih dikenali sebagai (Bidang Keberhasilan Utama Negara) telah mensasarkan  pendaftaran kanak-kanak prasekolah adalah sebanyak 87% pada tahun 2012 dan 92% pada tahun 2015.

Bagi menyahut seruan itu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Malaysia telah menetapkan beberapa garis panduan yang wajib dipatuhi bagi mereka yang berminat untuk membuka pusat jagaan kanak-kanak (nursery).

Cara membuka pusat jagaan kanak-kanak di Malaysia

Garis panduan penubuhan Tadika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) ini disediakan bertujuan untuk memudah cara serta memberi panduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi teknikal dalam merancang dan menimbang permohonan pembangunan Tadika dan TASKA.

Seterusnya, garis panduan ini juga boleh digunakan bagi pihak pemaju untuk menyediakan tapak dan membina Tadika dan TASKA mengikut kategori premis yang telah ditetapkan serta menjadi pemudah cara bagi seseorang pengusaha pusat jagaan dalam proses penubuhan, pendaftaran dan permohonan lesen premis perniagaan untuk Tadika dan TASKA. 

Garis panduan ini boleh digunakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pada masa hadapan serta mengambil kira parameter bagi sesebuah negara maju. Garis panduan ini turut dibina hasil kerjasama serta mengambilkira keperluan agensi teknikal termasuk PBT, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). 

Antara tujuan garis panduan ini dibina juga adalah untuk mengiktiraf penyediaan serta penubuhan sesebuah institusi pusat jagaan kanak-kanak (nursery) atau juga lebih dikenali sebagai Tadika dan TASKA sebagai salah satu  tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam Bil. 2/2011 yang telah berlangsung pada 6 April 2011 telah banyak membincangkan isu-isu berkaitan pusat jagaan di Malaysia. Antara perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) tersebut adalah isu berkaitan tempoh permohonan kelulusan tukar syarat, Kebenaran Merancang (KM), pelesenan dan pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama, peraturan dan syarat dalam menimbang kelulusan yang tidak seragam di antara pelbagai agensi, yuran permohonan Kebenaran Merancang (KM), lesen premis perniagaan yang baru dan pembaharuan lesen yang tidak seragam di antara PBT. 

Ahli Mesyuarat juga ada menyentuh isu berkaitan kewujudan operasi Tadika dan TASKA yang tidak berdaftar  ataupun yang beroperasi secara haram di kawasan kediaman telah menyebabkan timbulnya gangguan terutamanya dari aspek lalu-lintas dan bunyi bising serta Tapak khas Tadika dan TASKA yang dikenal pasti di dalam Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang tidak dibangunkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam Bil. 2/2011 tersebut telah memutuskan supaya Tadika dan TASKA dikeluarkan daripada Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat (JPBD 19/97) dan disediakan satu Garis Panduan Penubuhan Tadika dan TASKA secara khusus yang meliputi aspek perancangan tapak, pelesenan dan proses penubuhan Tadika dan TASKA.

Garis panduan ini adalah terpakai bagi penubuhan Tadika dan TASKA sama ada yang dijalankan oleh pengusaha Kerajaan atau swasta di seluruh Semenanjung Malaysia. Garis panduan ini disediakan dengan memberi perhatian terhadap proses penubuhan sesebuah Tadika dan TASKA mengikut kategoriatau jenis yang ditetapkan yang meliputi aspek perancangan tapak, penyeragaman fi, lesen dan senarai semak keperluan agensi terlibat. Garis panduan ini juga mengambil kira aspek perancangan, penyediaan kemudahan berkaitan dan perihal tanah dengan merujuk peruntukan Akta-akta berkaitan termasuk Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 56].

Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308]  digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.

Manakala, di bawah Seksyen 2, Akta 308 “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.

“Taman asuhan kanak-kanak berdaftar” pula dapatlah didefinisikan sebagai suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.

Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan- peruntukan Akta ini. Di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

Antara syarat bagi penubuhan sesebuah pusat jagaan kanak-kanak adalah wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS). kecuali bagi TASKA yang dijalankan di kawasan berbentuk rumah. Seterusnya adalah perlu memenuhi standard minimum JKM dan mendapat sokongan atau kelulusan daripada agensi teknikal iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Tanah dan Survei bagi negeri Sarawak sahaja.

Di antara standard minimum yang ditetapkan adalah nisbah pengasuh dengan kanak-kanak sewajarnya mencukupi. Contohnya bagi bayi yang baru lahir sehingga tiga tahun skala pengasuh adalah seramai seorang bagi setiap tiga bayi. Bagi kanak-kanak setahun hingga 3 tahun, skala pengasuh adalah seramai seorang bagi setiap lima bayi.

Prosedur permohonan pendaftaran TASKA adalah seperti berikut iaitu permohonan perdaftaran mestilah dibuat melalui Sistem eJKM Online. Permohonan pendaftaran TASKA yang lengkap akan diproses dalam tempoh 14 hari berkerja  dengan bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak  RM50.00 bagi pusat jagaan di rumah manakala TASKA Institusi, Komuniti  atau  Tempat Kerja yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM250.00. Preses yang terakhir adalah sijil Perakuan Pendaftaran TASKA akan dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri berkenaan.