Penggunaan ‘EDMODO’ Untuk Menggalakkan Penglibatan Dan Pembelajaran Aktif Dalam Kalangan Pelajar Dan Pensyarah

Sejarah tamadun dunia bermula dengan masyarakat pertanian yang bergantung hidup dengan aktiviti bercucuk tanam dengan kehidupan yang ringkas dan mudah. Pada abad ke-19, tamadun dunia telah berubah kepada masyarakat industri yang mempunyai ciri-ciri pengkhususan dan memberi keutamaan kepada hasil pengeluaran atau produksi komoditi.

Kini, masyarakat dunia di abad ke-21 telah berubah kepada zaman baru yang dikenali sebagai "knowledge age" atau k-ekonomi. Keperluan baru ini menekankan kepentingan maklumat, kreativiti, dan inovasi dalam memberi perkhidmatan baru kepada masyarakat.

Memetik kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang ada menyatakan bahawa "ajarlah anak-anakmu dengan  ilmu kontemporari kerana mereka dilahirkan pada era yang berbeza dengan kamu". 

Sudah menjadi satu fakta bahawa setiap kali pelajar dan guru yang terlibat sama untuk tujuan pembelajaran, penggunaan strategi pengajaran yang berkesan dan inovatif untuk mencapai tahap optimum digunakan untuk mencapai tujuan pembelajaran. 

Kedua-dua pembelajaran aktif dan penyertaan di dalam kelas didapati mempunyai pengaruh dalam meningkatkan prestasi pelajar. Mempunyai pengetahuan tentang penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan mengetahui cara-cara untuk mengubah suai strategi yang terpakai dalam mencapai objektif pengajaran adalah penting digunakan di dalam kelas, terutama kepada bakal pensyarah.

penggunaan Edmodo untuk pelajar dan pensyarah dalam pembelajaran

Sejarah Edmodo telah bermula sekitar akhir 2008, di mana Nic Borg dan Jeff O'Hara percaya bahawa suasana persekolahan perlu diperkembangkan untuk menggambarkan perkaitan dalam dunia yang didiami, dibina untuk mencipta satu perkara baru berkait rapat dengan jurang antara bagaimana pelajar menjalani kehidupan mereka dan bagaimana mereka belajar di sekolah. Setakat ini, Edmodo telah menghubungkan lebih daripada 125,000,000 guru dan pelajar dalam dunia sejagat.

Antara kelebihan penggunaan Edmodo ialah ia dapat diakses oleh pensyarah, pelajar dan ibu bapa tanpa mengira tempat dan masa serta merupakan satu platform pembelajaran yang selamat. Hal ini memudahkan pelajar dan pensyarah menggunakan ruang waktu dan keselesaan mereka sendiri. Selain itu, pensyarah dan pelajar boleh berkomunikasi secara maya. 

Pensyarah boleh memberi tugasan kepada pelajar dengan memberi satu tarikh akhir untuk tugasan tersebut. Oleh itu, pelajar boleh menggunakan masa sendiri asalkan dapat menghantar tugasan tersebut sebelum tarikh akhir. Pensyarah dan pelajar juga dapat berkongsi maklumat. 

Selain itu, ibu bapa juga dapat memantau perkembangan dan hasil kerja anak-anak secara maya tanpa berjumpa dengan guru. Melalui Edmodo juga kos peralatan seperti penggunaan buku, kertas dan alat tulis dapat dikurangkan.

Kecemerlangan sesebuah IPT boleh diukur melalui kualiti yang terdapat dalam kalangan ahli akademiknya sama ada dari sudut pengajaran, penyeliaan, mahupun penyelidikan. 

Dorongan tersebut merupakan hasrat kerajaan untuk melahirkan ajli-ahli akademik tempatan yang profesional, berkaliber, serta berprestasi global. Diharapkan IPT di Malaysia akan menjadi tumpuan penuntut dari seluruh pelusuk dunia. 

Untuk itu, pendekatan yang tepat perlu diguna pakai bagi memastikan tenaga pengajar di IPT mendapat latihan asas yang optimum bagi menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan. Pensyarah bukan sahaja mengetahui tentang apa yang hendak diajar tetapi yang lebih utama lagi berkebolehan untuk menyampaikan ilmu secara lebih berkesan dan menyeronokkan.

Keperluan asas pengajaran bagi tenaga pengajar baharu di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia merangkumi pemantapan komponen kaedah pengajaran dan pembelajaran. Penerapan komponen ini memerlukan usaha yang berterusan oleh pihak institusi sendiri, tanpa perlu memberi kelonggaran kepada mana-mana individu akademik yang ingin maju dalam profesion pengajaran di IPT. 

Keperluan kursus asas pengajaran perlulah disepadukan dalam perancangan pembangunan sumber manusia akademik di setiap IPT khususnya kepada pensyarah-pensyarah baharu.

Skop kursus asas pengajaran yang merangkumi aspek akauntabiliti akademik, reka bentuk kurikulum, pembelajaran dan pengajaran, serta penilaian pelajar merupakan tunjang ilmu dalam bidang pengajaran yang menjadi landasan bagi memenuhi keperluan asas para pengajar akademik di IPT. 

Aspek-aspek inilah yang perlu digarapkan kepada bakal akademia IPT agar kesinambungan percambahan ilmu dapat dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.


Konklusinya, penerapan aspek-aspek di atas memerlukan penglibatan para fasilitator atau moderator yang berkaliber, kompeten dan efektif bagi mengendalikan kursus tersebut. Training of Trainers (TOT) dan perkongsian kepakaran antara IPT juga merupakan asas bagi menjayakan Kursus Asas Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah  Baharu IPT dan merupakan komponen sokongan yang sangat penting dalam pelaksanaan kursus tersebut sekaligus mencapai tahap profesional dalam bidang pengajaran yang disegani dan dihormati. - Oleh Nur Faiz binti Solehan

Bibliografi

Fariha Gull, Faiza Shaheen & Rizwan Akram Rana, Penggunaan 'Pub Kuiz' untuk Menggalakkan Penglibatan dan Pembelajaran Aktif dari Perspektif Guru, Jurnal Pendidikan Malaysia 40(2)(2015): 119-128

Arista Nurbayanti, Sejarah Edmodo,http://www.academia.edu/7051706/s_Sejarah_EDMODO, diakses pada 5 Jun 2017

Mohamed Khaled Bin Nodin, Menteri Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Asas Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah Institusi Pengajian Tinggi, Penerbit UTHM, Johor, 2012.

Radin Umar Bin Radin Sohadi, Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Asas Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah Institusi Pengajian Tinggi, Penerbit UTHM, Johor, 2012.

Azian binti Abdul Rahman, Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21,  https://www.slideshare.net/carrothy21/pengajaran-dan-pembelajaran-abad-ke-21, diakses pada 9 Jun 2017. 

https://www.slideshare.net/farisha85/pembelajaran-abad-ke21, diakses pada 9 Jun 2017




Load disqus comments

0 comments

DISCLAIMERS: Some of the pictures, videos and articles on pendidikanmalaysia.com are the property of their respective owners. pendidikanmalaysia.com do not hold any copyright about the said content. If you have recognized one of your photos, videos or others from pendidikanmalaysia.com contents that is in violation of copyright law, please email me at sunduvan [at] gmail.com. Based on your request, pendidikanmalaysia.com will put a proper credit to the said content OR would immediately remove the said material from the site upon proof and identification OR pendidikanmalaysia.com can arrange any other ways to solve the conflict. Thanks.