Institusi Pengajian Agama Islam Dipelawa Berdaftar Jadi SABK

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Institusi Pendidikan Agama (IPA) selain daripada Sekolah Menengah Kebangsaan AgamaSekolah Berasrama Penuh Agama dan Kelas Aliran Agama juga Sekolah Menengah Kebangsaan. 

Program Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalan satu usaha murni kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah – sekolah agama di Malaysia. Program ini pernah dicadangkan pada tahun 2002 oleh Menteri Pelajaran dan dicadangkan semula oleh Jawatankuasa Khas Tan Sri Murad pada Ogos 2004.

Konsep Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah sekolah tersebut perlu berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan ditadbir oleh KPM. Walau bagaimanapun, pemilikan tanah dan bangunan dikekalkan seperti sedia ada. Di samping itu, kurikulum agama negeri akan terus diguna pakai di sekolah tersebut. Penerimaan status SABK memberi kebaikan kerana ia memberi peluang kepada pihak sekolah untuk menerima pelbagai kemudahan daripada pihak kerajaan. Hal ini selaras dengan tujuan pengenalan SABK, iaitu untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan pentadbiran, kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), kualiti pengurusan sumber manusia serta kualiti prasarana dan kemudahan.

Ditinjau daripada aspek kurikulum, kebanyakan SAR menggunakan kurikulum Bu’uth al-Azhar atau dikenali sebagai Kurikulum al-Azhar atau Kurikulum Azhari. Selain itu, hampir semua sekolah yang berstatus SABK menggunapakai kurikulum KPM serta mengekalkan Kurikulum Bu’uth al Azhar. Kurikulum Bu’uth al-Azhar tersebut diambil secara langsung dari Universiti al-Azhar, Mesir. Kurikulum ini melibatkan komponen-komponen pengajian Islam dan bahasa Arab secara terasing seperti subjek Tafsir, Hadis, Fekah, Tauhid, Nahu, Nusus dan sebagainya yang menggunakan buku teks berbahasa Arab. Melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara KPM dan kerajaan-kerajaan negeri yang ditandatangani pada 2008 sehingga 2010, terdapat sebanyak 139 buah berstatus SABK di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut sebanyak 23 buah sekolah terletak di negeri Selangor.

Secara keseluruhan, SABK menawarkan 40 mata pelajaran yang terdiri daripada mata pelajaran teras peperiksaan umum, mata pelajaran agama, dan mata pelajaran Bahasa Arab. Namun begitu, pengkelasan dari segi keupayaan setiap sekolah membezakan mata pelajaran yang ditawarkan.

Kementerian Pendidikan mengalakkan majlis agama Islam di setiap negeri untuk menawarkan kepada institusi pengajian agama termasuk madrasah, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat, supaya berdaftar dengan kementerian agar pelbagai kemudahan dapat ditawarkan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu secara tidak langsung akan membolehkan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih sempurna.

“Daripada 400 institusi pengajian agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, hanya 215 sahaja yang telah berdaftar dengan kementerian dan seterusnya didaftarkan di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Muar dan Program Pembina Negara Bangsa di sini, malam ini.Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Muar.

Pada majlis itu, Mahdzir turut meluangkan masa berbuka puasa bersama kira-kira 1,200 pemimpin masyarakat dan warga pendidik dalam Parlimen Muar.

Mengulas lanjut katanya, institusi tersebut perlu berdaftar dengan kementerian untuk diserapkan ke program SBAK bagi memastikan kurikulum kebangsaan dapat dilaksanakan.

Di bawah kurikulum kebangsaan, pelajar akan mempunyai dua laluan iaitu akademik dan agama.

Ini seterusnya akan dapat membantu mereka sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan kelak.

Katanya, sekiranya institusi-institusi pengajian ini didaftarkan dan menjadi SABK, ianya membolehkan pelajar mereka mempunyai kelayakan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan pada masa sama tidak mengenepikan pengajian keagamaan.

Ia katanya, seiring dengan keperluan masa kini yang memerlukan sekurang-kurangnya SPM untuk membolehkan mereka mengisi kekosongan dalam pelbagai jawatan di sektor awam mahu pun sektor swasta.

“Pelajar-pelajar ini perlu ada sekurang-kurangnya SPM kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang mereka perlukannya untuk bekerja,” tambah Mahdzir.

Antara cara untuk membuat permohonan tersebut adalah pihak sekolah perlu menghantar surat permohonan dan salinan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pihak berkuasa agama negeri kepada BPI(Bahagian Pendidikan Islam), menghantar profail sekolah, senarai nama ahli lembaga Pengelola Sekolah, guru, kakitangan dan murid beserta salinan dokumen geran tanah, pelan sekolah dan Sijil Pendaftaran sekolah yang disahkan, menyemak dan mempersetujui draf MoU yang dimemukakan oleh KPM, menghantar surat persetujuan terhadap draf MoU kepada KPM, menandatangani dokumen MoU serta mengisi borang pendaftaran sekolah.

Konklusinya, seluruh institusi pengajian Agama Islam di seluruh Malaysia diseru untuk menaiktaraf institusi masing-masing ke peringkat yang lebih formal seiring dengan SABK yang lain sekaligus mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.


Bibliografi

Mahdzir Khalid, Institusi Pengajian Agama Islam Dipelawa Berdaftar Jadi SABK, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/institusi-pengajian-agama-islam-dipelawa-berdaftar-jadi-sabk-146146, diakses pada 14 Jun 2017

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah_Agama_Bantuan_Kerajaan, diakses pada 14 Jun 2017

Maimun Aqsha Lubis, Zaffi Alias & Hanis Najwa Shaharuddin, Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab dalam Kurikulum Bu’uth Al-Azhar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Jurnal Pendidikan Malaysia 39(1)(2014): 51-61

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia,http://www.moe.gov.my/index.php/my/sekolah/sekolah-agama-bantuan-kerajaan-sabk, diakses pada 14 Jun 2017