Kelebihan MENGHANTAR Anak Ke Sekolah ALIRAN CINA Di Malaysia

Sistem pendidikan di Malaysia terdiri daripada tiga jenis aliran, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)). Orang Melayu lebih cenderung belajar di SK, manakala SJKC pula menjadi pilihan orang Cina dan SJKT menjadi pilihan orang India.

Namun begitu, sejak kebelakangan tahun ini semakin ramai bilangan pelajar Bumiputera yang berminat untuk mendaftar masuk ke SJK(C). Bagi pelajar Bumiputera, tidak kira berada di SK ataupun SJK(C) Bahasa Cina iaitu Mandarin dipelajari sebagai bahasa yang kedua atau ketiga. Sesungguhnya, sistem pengajaran dan pembelajaran Bahasa Cina di SK dan SJK(C) adalah jauh berbeza.

kelebihan menghantar anak ke sekolah aliran cina di Malaysia

Hal ini kerana kelas pembelajaran Bahasa Cina di SK lebih cenderung kepada pembelajaran bahasa kedua, tetapi Bahasa Cina di SJK(C) adalah pembelajaran bahasa ibunda atau boleh dikatakan sebagai penggunaan bahasa yang utama.

Oleh itu, pelajar Bumiputera yang belajar di SJK(C) biasanya menghadapi sedikit masalah dalam pembelajaran yang berkali ganda berbanding belajar di SK. Hal ini bukan sahaja merupakan satu cabaran yang besar buat guru-guru yang mengajar.

Untuk membolehkan Bumiputera memahami dan menguasai Bahasa Cina dengan cepat dan efektif, maka para guru terpaksa menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran sekaligus mengakibatkan penurunan prestasi pendidikan dan pembelajaran Bahasa Cina. 
Sementelahan itu, isu berkaitan kecenderungan ibu bapa Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina pernah beberapa kali menjadi tular sebelum ini. Sebagai contoh, pada awal tahun 2002, kecemerlangan sekolah Cina benar-benar berupaya menarik perhatian apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) memberitahu bahawa terdapat kira-kira 60,000 orang pelajar Melayu telah mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina. 

Hal itu adalah rentetan daripada corak pemikiran ibu bapa yang terlalu liberal dan agak  moden terutamanya yang tinggal di luar bandar.

Namun begitu, apabila bilangan pelajar Melayu semakin meningkat setiap tahun, ia tidak lagi dilihat dari perspektif  tersebut. Sebaliknya lebih kepada kemampuan, kemantapan, kredibiliti sekolah aliran Cina itu sendiri dalam uasaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang terutamanya dalam subjek yang penting seperti Sains dan Matematik.

Bermula dari itu, sekolah Cina kian mendapat tempat di hati pelajar dan ibu bapa kerana kelebihan bahasa Mandarin dan Inggeris yang bakal dikuasai oleh pelajar Melayu. Kedua-dua bahasa itu merupakan bahasa utama global yang diguna pakai hari ini dan merupakan antara aset penting yang wajib untuk dikuasai.

Tidak cukup dengan itu, cara kemasukan dan pengambilan pelajar ke sekolah Cina juga terlalu mudah memandangkan bilangan penubuhannya yang banyak iaitu kira-kira 1,200 buah sekolah di seluruh negara sehingga kini. 

Secara psikologinya, apabila pelajar Melayu menjadi bilangan yang minoriti di sekolah tersebut secara tidak langsung telah berupaya memotivasikan mereka untuk sentiasa terus bersemangat dan bersaing bersama pelajar-pelajar Cina yang lain bagi menjadikan mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama dengan rakan cina yang lain. Hal ini sangat membantu meningkatkan prestasi yang cemerlang serta mencatatkan keputusan yang sangat membanggakan.

Hal ini juga telah dibuktikan oleh sebahagian majoriti pelajar Melayu yang mendapat pendidikan di sekolah Cina. Hakikat kebenaran ini semakin menambah keyakinan serta kecenderungan ibu bapa termasuk yang tinggal di luar bandar untuk bersama- sama menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina.

Justeru itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ada mengarahkan kajian terperinci perlu dijalankan berhubung dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina, ia pastinya ada perkaitan dengan minat ibu bapa terhadap sekolah Cina. Beliau yang juga bekas Menteri Pelajaran merujuk kepada kejayaan sekolah Cina yang mencatatkan keputusan cemerlang bagi kedua-dua mata pelajaran itu berbanding sekolah-sekolah lain.

Di samping itu, sekolah-sekolah kebangsaan yang lain rata-rata akan membuat perbandingan antara sekolah Cina dan kebangsaan serta menjadikan model pendidikan yang diguna pakai di sekolah Cina sebagai satu asas penilaian atau penanda aras. Model pendidikan nasional di sekolah kebangsaan sering dianggap lapuk serta lebih ke belakang kerana tidak banyak proses inovasi yang dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu. Sistem pengajaran dan pendidikan sekolah kebangsaan juga dilihat lebih banyak terikat kepada sukatan pelajaran, pekeliling Kementerian Pendidikan dan buku teks semata-mata.

Berlainan pula yang berlaku di sekolah Cina, suasana persekitaran pendidikannya sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa serta banyak mengamalkan teknik pembelajaran abad ke 21. Sekolah Cina juga dikatakan lebih mementingkan aspek kualiti kecemerlangan dalam banyak perkara melalui metodologi kaedah latihan serta guru yang kreatif dan kritis. Subjek-subjek penting seperti Sains dan Matematik juga sangat dititikberatkan  di setiap sekolah Cina.

Hal ini sangat jauh berbeza dengan sekolah kebangsaan,  yang mana isu kekurangan guru berkemahiran bagi subjek kritikal tersebut boleh dikatakan sentiasa dibangkitkan saban tahun. Dalam hal ini, maka adalah wajar untuk kerajaan mencontohi model sekolah Cina meskipun dalam beberapa aspek lain, sekolah kebangsaan sebenarnya lebih baik berbanding sekolah aliran tersebut.

Memetik kata-kata seorang pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, yang ada menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang menjadikan sekolah Cina begitu cemerlang dalam subjek Matematik dan Sains.

Antara faktor yang utama menurut beliau selaku pensyarah Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan universiti berkenaan, adalah kesatuan serta komitmen yang diberikan terhadap kepentingan untuk menguasai mata pelajaran itu. Ia wujud dalam kalangan ibu bapa, pentadbiran dan pengurusan sekolah serta para guru yang akhirnya menjadi nilai tambah buat pelajar itu sendiri. Kesatuan sikap itu diterjemahkan dalam bentuk aktiviti yang tidak dibuat secara tahunan bahkan dijalankan setiap hari sama ada di sekolah mahupun di rumah. Di sekolah kebangsaan, pendekatan seperti itu juga ada diamalkan termasuk menerusi penganjuran kem Sains dan Matematik oleh kementerian tetapi ia kebiasaannya diadakan pada tiga bukan terakhir sebelum peperiksaan utama atau hanya bagi pelajar yang mengambil peperiksaan awam sahaja.

Antara faktor lain mengapa sekolah Cina lebih cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik adalah kerana adanya dana yang besar. Dana itu pula tidak sewenang-wenangnya dibelanjakan sebaliknya digunakan bagi tujuan pencapaian akademik yang cemerlang. Pengurusan perbelanjaan itu ada kaitan dengan budaya sekolah kebangsaan yang terlalu banyak mengadakan sambutan majlis atau acara tertentu. Ia secara tidak langsung menganggu tumpuan guru terutamanya dalam persediaan mengajar Sains dan Matematik yang memerlukan lebih tumpuan.

Punca yang seterusnya adalah  bentuk pengajaran yang diterapkan. Beliau yang mempunyai pengalaman belajar di sekolah Cina menjelaskan, bentuk pengajaran latih tubi lebih banyak ditekankan berbanding sekolah kebangsaan. Seorang murid darjah empat misalnya, akan diarahkan oleh guru membuat latih tubi subjek Matematik antara 50 hingga seratus soalan setiap hari. Di peringkat darjah enam pula, sebuah buku tulis latihan matematik yang mengandungi 100 muka surat akan habis digunakan dalam tempoh satu minggu sahaja. Malangnya kaedah ini kurang mendapat perhatian di kalangan guru sekolah kebangsaan kerana terpaksa memeriksa begitu banyak latihan pelajar.

Konklusinya, tak tumbuh tak melata, tak sungguh penulis tak kata betapa sesungguhnya terdapat terlalu banyak kelebihan menghantar anak ke sekolah aliran cina di Malaysia. Dengan kelebihan-kelebihan di sekolah Cina itu, maka bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya jumlah pelajar kaum lain terutamanya Melayu terus meningkat.

Dari satu sudut, perkembangan ini sememangnya sesuatu yang positif kerana ia memberi peluang kepada anak-anak Melayu menguasai kecemerlangan yang diterapkan di sekolah Cina tetapi dari aspek yang lain, ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan terhakisnya kadar keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan dalam melahirkan pelajar cemerlang terutamanya bagi subjek Sains dan Matematik.