Tahap Daya Saing Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Di Semenanjung Malaysia Dalam Pembangunan Keusahawanan

Ekonomi yang mantap berupaya menjamin keteguhan sesebuah negara. Aktiviti keusahawanan pula telah lama diakui sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di samping bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara. 

Kini, Malaysia ke arah melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian status negara maju menjelang 2020.

Dalam konteks negara Malaysia, aspek pembangunan keusahawanan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Bumiputera telah diberikan perhatian yang serius bermula dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. 

pembangunan keusahawanan di Malaysia

Melalui dasar ini pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat bumiputera telah dijadikan sebagai agenda penting negara dalam usaha untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), yang telah dikenal pasti sebagai pendekatan utama untuk menyusun semula masyarakat dan dalam memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara.

Pembangunan Keusahawanan khasnya usahawan Bumiputera adalah tertumpu kepada empat kumpulan sasaran iaitu golongan pelajar, siswa/siswazah IPT, serta golongan belia dan wanita. Dalam konteks kumpulan sasar ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berperanan untuk menerajui pembangunan keusahawanan dalam kalangan siswa/siswazah IPT. 

Rentetan itu, Dasar Pembangunan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah diperkenalkan bagi menggalakkan dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik dalam kalangan IPT tempatan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

Pada era dunia globalisasi masa kini, ekonomi Malaysia perlu lebih berdaya saing untuk kekal maju dan mapan setanding dengan ekonomi negara-negara membangun yang lain. 

Keperluan daya saing dalam diri individu amat ditekankan oleh kerajaan terutama kepada generasi muda yang bakal mewarisi ekonomi negara kelak.  Fenomena globalisasi yang berlaku hampir di seluruh dunia telah memberi tempias kepada negara dunia ketiga. 

Kepantasan perkembangan teknologi yang melanda dunia, memerlukan negarabangsa yang berani mendepani cabaran dalam mengukuhkan ekonomi negara. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan fenomena tersebut dan perlu tampil gagah menghadapi persaingan antarabangsa yang bukan hanya dalam kalangan negara terdekat, malah melibatkan negara Amerika Syarikat dan Eropah Timur. 

Bagi menjamin kemampanan negara, modal insan merupakan sumber terpenting yang perlu digerakkan ke arah merealisasikan matlamat negara untuk mencapai ekonomi yang berintensif pengetahuan dan diterajui inovasi. 

Keperluan kepada modal insan yang produktif dan berdaya saing merupakan pelaburan terpenting bagi penggerak pembangunan sesebuah negara serta menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi (Lutfihak Alpkan et al. 2010; Thomas & Daniel 2010; Raul Ramus et al. 2010). Oleh yang demikian, Malaysia perlu lebih konsisten dalam usahanya melahirkan bilangan modal insan yang berdaya saing untuk berdepan dengan persaingan pasaran global (World Bank 2007).

Menerusi laporan Rancangan Malaysia Kesepuluh (Malaysia, 2010a), Perdana Menteri turut memberi penekanan terhadap modal insan yang berdaya saing dengan menyatakan bahawa tunjang bagi ekonomi berpendapatan tinggi terletak pada tenaga kerja yang berdaya saing, kreatif dan inovatif di peringkat global. 

Beliau juga telah meletakkan sasaran kepada Malaysia untuk menjadi 10 negara terbaik dalam indeks daya saing global dan indeks inovasi global menjelang 2020 (MynewsOnline 2014). 

Keperluan memiliki sifat berdaya saing ini amat diperlukan pada masa depan kerana senario semasa menyaksikan kebarangkalian berlakunya persaingan sengit di antara negara, lanjutan daripada keadaan globalisasi, iaitu dunia tanpa sempadan (Harinder 2012). 

Selain itu, menurut Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Ahmad Nazri Sulaiman, para graduan perlu mengambil inisiatif untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi dari semasa ke semasa supaya negara dapat melahirkan lebih ramai pekerja yang berdaya saing bukan sahaja dalam pasaran negara malah di pentas dunia (Utusan Online 2013). 

Tambah beliau lagi, sijil yang diperolehi bukan bermakna penghujung kepada proses pendidikan kerana graduan perlu meningkatkan daya pemikiran intelek dan menambah keupayaan untuk berdaya saing di peringkat global. 

Sehubungan itu, salah satu usaha untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan produktif adalah melalui program pendidikan dan latihan keusahawanan yang ditawarkan kepada pelajar, sama ada di peringkat menengah atau peringkat pengajian tinggi. Hal ini kerana kajian-kajian lepas membuktikan bahawa program pendidikan dan latihan keusahawanan mampu memupuk sifat berdaya saing dalam kalangan pelajar. 

Menurut Hariyaty (2014), pelajar yang didedahkan dengan program latihan keusahawanan yang dikenali sebagai program Students in Free Enterprise (SIFE) yang kini dikenali sebagai ENACTUS di peringkat universiti merupakan salah satu platform permulaan yang sesuai untuk membentuk sikap berdaya saing dalam diri pelajar. 

Hal ini terbukti dalam dapatan kajian beliau yang menunjukkan tahap daya saing pelajar SIFE adalah lebih tinggi berbanding pelajar bukan SIFE (t = 5.61, p < .05). Kenyataan Hariyaty ini selari dengan pendapat Azmi et al. (2012), Mohd Khata dan Ahmad Firdaus (2012) apabila mereka juga menegaskan bahawa pendidikan keusahawanan yang didedahkan kepada generasi muda mampu mewujudkan modal insan yang berdaya saing, berkualiti, inovatif dan kreatif yang akhirnya berupaya merubah ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi seterusnya mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. 

Pendidikan dan latihan keusahawanan yang diterima oleh sebahagian besar pelajar di peringkat IPT terbukti mampu memberikan nilai tambah dalam bentuk peningkatan daya saing kepada pelajar yang terlibat (Hariyaty et al. 2014). Dengan kemahiran daya saing yang dimiliki golongan muda ini, hasrat negara untuk menikmati pembangunan ekonomi negara konsisten lagi mampan akan menjadi realiti.


Secara keseluruhan, hasil kajian ini mendapati bahawa tahap daya saing pelajar IPT di Semenanjung Malaysia berada pada tahap sederhana tinggi. Dapatan ini membuktikan bahawa daya saing pelajar IPT adalah pada tahap yang boleh dibanggakan, namun masih perlu digilap hingga mampu mencapai tahap tinggi bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang lebih berdaya saing. 

Hal ini adalah kerana pendidikan diakui dapat menggalakkan dan mengubah pembentukan tingkah laku atau meningkatkan prestasi sesuatu usaha teroka seperti memupuk sikap berdaya saing dalam diri pelajar. Berdasarkan kedudukan indeks daya saing global, negara Malaysia mencatatkan kedudukan pada tangga ke-24 teratas (Schwab 2013) dalam dunia dan ini juga membuktikan bahawa indeks daya saing pelajar Malaysia tidak kurang hebatnya dengan negara-negara maju yang lain serta mungkin mampu mengatasi negara-negara tersebut di masa hadapan. 

Namun begitu, prestasi ini harus dikekalkan dan ditingkatkan dari masa ke semasa, terutamanya kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara selaras dengan saranan Perdana Menteri Malaysia yang mensasarkan negara agar menduduki tangga 10 teratas dalam indeks daya saing global menjelang tahun 2020 (World Bank 2007). 

Justeru, elemen daya saing perlu dibina dalam diri pelajar pada peringkat awal lagi seperti di peringkat pengajian tinggi kerana pendidikan di universiti diyakini mampu menyuntik sikap daya saing dalam diri pelajar, terutamanya dalam subjek-subjek tertentu seperti keusahawanan dan menerusi aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menerapkan elemen persaingan.

Oleh :Nur Faiz binti Solehan

Bibliografi
Hariyaty Ab Wahid, Keusahawanan Sosial, Daya Tahan Dan Daya Saing Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Di Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, 2014

Norasmah Othman, Khairul Khairiyah Khasbullah & Hariyaty Ab Wahid, Tahap Daya Saing Pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia, Jurnal Pendidikan Malaysia 40(2)(2015): 139-149
Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi, diakses pada 1 Jun 2017, http://jpt.mohe.gov.my/program-keboleh-pasaran-graduan/program-latihan-keusahawanan/dasar-pembangunan-keusahawanan-ipt                 
SUMBER/LINK PENTING
Anda mungkin berminat dengan maklumat-maklumat berkaitan di bawah yang menyediakan info dan rujukan untuk pelajar.

Bantuan Pendidikan:

Akses Laman Web Rasmi UPU Online:


SUMBER RUJUKAN PELAJAR
Untuk rujukan soalan peperiksaan SPM tahun-tahun lepas klik link di bawah:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NOTE: Sila share info ini kepada kawan-kawan anda di FACEBOOK. Anda digalakkan POST/TULIS pertanyaan anda (jika ada) di rungan komen. Komen dengan berhemah. Terima Kasih.