Program Penyelidikan Lima (5) Universiti Negara Hasilkan Peningkatan

Penyelidikan secara luasnya boleh ditakrifkan sebagai suatu aktiviti sistematik dan berdisiplin yang dijalankan untuk mewujudkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Ia membabitkan pelbagai bentuk merentasi disiplin, termasuk penemuan penyelidikan saintifik dan sosial, penciptaan atau pembaikan konsep dan teori, teknik atau komposisi, atau memperluaskan pemahaman semasa melalui analisis kritikal. 
Ciri-ciri umum penyelidikan merangkumi metodologi yang sistematik dan berdisiplin, komitmen terhadap penerbitan hasil daripada penemuan dan ulasan kesepakaran yang setanding. Unsur penerbitan penyelidikan juga berbeza mengikut disiplin dan boleh meliputi penerbitan hasil di dalam jurnal atau monograf atau buku ke persembahan komposisi kreatif.

program penyelidikan universiti

Rentetan itu, di Besut, terdapat lima Universiti Penyelidikan negara, yang telah disenaraikan antara satu peratus universiti teratas di dunia bagi dalam ranking 2017/2018 oleh Quacquarelli Symonds (QS), sememangnya telah menunjukkan peningkatan dalam program-program penyelidikan masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata sejak penubuhan Universiti Penyelidikan 10 tahun lepas, kualiti universiti-universiti berkenaan memang bertambah baik dan berpotensi menyaingi universiti-universiti ternama dunia.

Beliau berkata pemilihan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Unversiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menduduki ranking berkenaan dibuat secara profesional oleh QS. "Pemilihan itu dibuat berasaskan laporan daripada 75,000 akademia, 40,000 majikan, 12.3 juta laporan penerbitan dan 75.1 juta sitasi yang mempunyai reputasi tinggi seperti Scopus dan Elsevier," katanya kepada media selepas berucap pada Program Amal PUSPANITA cawangan Kementerian Pengajian Tinggi di Masjid Hadhari Jertih di sini, pada Sabtu.

Sambil menyangkal dakwaan beberapa pihak di media sosial yang mempertikai cara QS melakukan penilaian itu, beliau berkata laporan QS itu tidak boleh dipertikaikan kerana ia dikeluarkan oleh mereka yang tidak mempunyai sebarang kepentingan.

Sehubungan itu, Idris meminta pihak-pihak yang tidak mempunyai pengetahuan bagaimana penilaian QS dilakukan supaya jangan membuat sebarang andaian kerana ia akan membataskan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak universiti untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Pada program amal PUSPANITA itu, seramai 100 ibu tunggal menerima wang saku dan barangan keperluan harian manakala 10 masjid di sekitar Jertih menerima sumbangan Al-Quran, sejadah dan kain sembahyang yang disumbangkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), PTPTN dan Jabatan Politeknik Malaysia.

Manakala di Johor Bahru pula terdapat sebanyak RM3.6 bilion pendapatan berjaya dijana oleh lima universiti penyelidikan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara 2007 sehingga 2013, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. Lima universiti penyelidikan itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau berkata, antara penyumbang kepada pendapatan itu termasuk pengkomersialan produk penyelidikan bernilai RM1.25 bilion dan aktiviti R&D yang memfokuskan kepada 12 Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bernilai RM205.14 juta. "Sepanjang tempoh 2005 hingga 2013, sebanyak 1,153 produk penyelidikan termasuk projek perundingan dan penyelesaian kepada masalah industri telah berjaya dihasilkan yang meliputi 12 NKRA," kata beliau kepada pemberita di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, di sini hari ini. Terdahulu, beliau merasmikan pameran yang memaparkan kejayaan universiti-universiti penyelidikan bertajuk "Research Universities' Success Series 4: Commercialisation Wealth Creation Through R&D" di sini. Idris berkata, sejak 2007 sehingga tahun lepas, kerajaan telah meluluskan peruntukan antara RM50 juta dan RM90.8 juta setahun di bawah peruntukan mengurus kepada setiap universiti penyelidikan membabitkan RM2.363 bilion. Dalam tempoh itu, sebanyak 1,650 harta intelek berjaya dihasilkan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang mana sehingga 2012 sebanyak RM48.7 juta berjaya diperoleh menerusi pengkomersialan harta intelek dan lesen. Jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada RM122 juta menjelang 2020. Idris berkata, sebanyak 77 syarikat hiliran ditubuhkan bagi membolehkan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik universiti dipasarkan. "Peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan universiti penyelidikan dijangka meningkatkan lagi penubuhan syarikat hiliran kepada 80 buah setahun pada 2020," katanya. Dalam tempoh sama, sebanyak 182,720 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

Dasar Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaya merupakan satu dokumen yang menyediakan rangka kerja untuk pembangunan budaya penyelidikan yang kompetetif dan berinovasi di Universiti Malaya bagi menjadi peneraju penyelidikan dalam semua sempadan ilmu dan teknologi canggih serta meningkatkan hasil penyelidikan secara kuantitatif dan kualitatif. Universiti Malaya beriltizam untuk mengekalkan status Universiti Penyelidikan terunggul serta dikenali di peringkat antarabangsa. Universiti juga komited dalam menyokong semua aktiviti penyelidikan bagi mewujudkan dan memajukan ilmu serta meningkatkan kualiti kehidupan melalui penemuan, penyebaran serta penggunaan hasil penyelidikan dalam pelbagai disiplin selaras dengan visi dan misi Universiti Malaya.
 

Tujuan utama Dasar Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaya ini disediakan adalah untuk menjadi garis panduan kepada pemilik teras, pihak Pengurusan Universiti serta staf akademik Universiti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam proses pembudayaan penyelidikan dan inovasi di Universiti Malaya. Selaras dengan itu, objektif dasar ini adalah untuk mengukuhkan prestasi cermerlang Universiti sebagai universiti penyelidikan perdana di Malaysia dan antarabangsa, memperkasa dan membudayakan penyelidikan yang kreatif dan berinovasi, mempertingkatkan penyelidikan usahasama antara disiplin dan pelbagai bidang di dalam dan luar negara, mempergiat dan memperkukuhkan jalinan kerjasama dan kolaborasi di antara universiti dan industri serta masyarakat serta mempertingkatkan usaha dalam penjanaan pendapatan bagi Universiti.

Konklusinya, selaras dengan Visi Kementerian Pengajian Tinggi  untuk menjadikan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia setaraf di peringkat antarabangsa dalam aspek penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengajaran maka Universiti-universiti di Malaysia mesti mengambil pendekatan yang jitu untuk membangunkan budaya penyelidikan yang kompetitif dan berinovasi dalam kalangan warga kerja dan pelajarnya demi meningkatkan kualiti kehidupan sejagat. - Oleh Nur Faiz binti Solehan

Bibliografi

Idris Jusoh, Program Penyelidikan Lima Universiti Negara Hasilkan

Idris Jusoh, Lima Universiti Penyelidikan Jana RM3.6 Bilion Pendapatan Menerusi R&D,2014,.http://www.bharian.com.my/node/9204, diakses pada 14 Jun 2017

Load disqus comments

0 comments

DISCLAIMERS: Some of the pictures, videos and articles on pendidikanmalaysia.com are the property of their respective owners. pendidikanmalaysia.com do not hold any copyright about the said content. If you have recognized one of your photos, videos or others from pendidikanmalaysia.com contents that is in violation of copyright law, please email me at sunduvan [at] gmail.com. Based on your request, pendidikanmalaysia.com will put a proper credit to the said content OR would immediately remove the said material from the site upon proof and identification OR pendidikanmalaysia.com can arrange any other ways to solve the conflict. Thanks.