PUNCA Dan CARA Mengatasi BULI Di Sekolah

Pada tanggal 15 Jun 2017, Malaysia digemparkan lagi dengan berita kematian kes buli yang berlaku ke atas T.Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town. Dalam kejadian Sabtu lalu, Nhaveen dilaporkan dipukul oleh sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town. Polis tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan kes pukul dan penderaan seksual remaja T.Nhaveen yang berumur 18 tahun, di Pulau Pinang sebagai kes bunuh dan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian remaja itu. 

Jenayah buli semakin menjadi-jadi ibarat cendawan turun selepas hujan. Laporan mengenai jenayah buli yang dilaporkan dalam media cetak dan elektronik memaparkan jenayah kes buli yang berlaku pada masa kini semakin melampau sehingga meragut nyawa yang tidak bersalah. 

Sila rujuk juga post terdahulu kami mengenai isu yang sama kes buli di sekolah yang amat popular dalam kalangan pembaca.

Punca dan cara mengatasi buli di sekolah

Apakah erti ‘Buli’

Buli dapatlah didefinisikan sebagai salah satu perbuatan mengasari insan yang lemah dengan bertujuan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Jenayah buli di sekolah juga semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa. 

Pada dasarnya, jenayah buli ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu buli dari sudut mental dan juga buli dari sudut fizikal. Buli dari sudut mental lebih bersifat dalaman iaiatu yang melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejek, menghina, mencaci, dan menyindir seseorang manakala buli dari sudut fizikal pula adalah melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang sehingga boleh mengakibatkan kecederaan anggota badan bahkan juga boleh mengundang maut. 

Sudah kajang lagi berteduh, sudah terang lagi bersuluh betapa sesungguhnya jenayah buli ini sangat memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah. Rentetan itu, teknik pencegahan yang sesuai dan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani jenayah buli di sekolah.

Kes ‘Buli’ Di Asia

Di Manila, jumlah kes buli yang berlaku pada tahun lepas adalah dua kali ganda daripada apa yang berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur (Reader Digest, 2005). Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu, pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10- 15 peratus ia dianggap serius.

Manakala di Singapura, jenayah buli telah banyak berlaku di sekolah iaitu kira-kira 38% telah berlaku dalam bilik darjah, 35% berlaku di kantin sekolah, sementara 23% pula berlaku di tandas. 95% daripada 4,000 pelajar yang ditinjau mengaku pernah dibuli atau melihat kes buli yang berlaku di sekolah mereka (Gabungan Mencegah Kelakuan Buli Bagi Kanak-Kanak dan Belia, 2006). Aksi buli di ruang siber yang mendedahkan bahawa 14% daripada responden mengaku pernah mengalami buli-siber melalui khidmat pesanan ringkas ringkas (SMS), sementara  13% lagi di jaringan lagi di jaringan (Chat) dan 7% pula dibuli di blog (Diari maya).

Punca Kes Buli 

Antara faktor berlakunya jenayah buli dalam kalangan pelajar sekolah ialah pengaruh negatif daripada rakan sebaya. Hal ini kerana remaja masa kini lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka berbanding ahli keluarga sendiri. 

Lazimnya, mereka akan bergerak dalam satu kumpulan dan meeruskan apa yang dilakukan oleh ahli lain bagi mengiktiraf keahlian mereka. 

Sebagai contoh, kes Muhammad Afiq Qusyairi bin Baharudin seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku,Kuala Lipis Pahang cedera parah selepas dibelasah teruk oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. 

Pelajar terbabit telah lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait rapat dengan saraf tunjang. Di sini dapat kita lihat kumpulan pelajar yang membelasah Mohamad Afiq telah terpengaruh oleh rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa memikirkan musibah yang bakal melanda.

Di samping itu, pengaruh media massa juga merupakan antara punca berlakunya jenayah buli. Media massa seperti media elektronik memaparkan  siaran televisyen yang menunjukkan aksi pergaduhan dan pembunuhan yang ganas dan sangat ekstrim. 

Lambakan filem aksi seperti Gengster, Castello dan KL Menjerit sedikit sebanyak akan mempengaruhi minda pelajar sekaligus mendedahkan  pelajar kepada aksi-aksi yang kurang adabnya. Pelajar yang melihat aksi tersebut akan cuba untuk mengaplikasi kembali aksi yang telah ditonton ke  atas pelajar yang lebih lemah daripada mereka tanpa  menyedari bahawa perbuatan tersebut akan mengundang kemudaratan yang besar 

Tidak cukup dengan itu, terdapat sebahagian  pelajar yang turut berbangga menjadikan pelakon ganas tersebut sebagai idola mereka. Oleh hal yang demikian, jelaslah di sini bahawa media massa merupakan salah satu penyumbang terbesar  kepada peningkatan kes buli di Malaysia.

Kesan Dan Akibat Buli

Sesungguhnya, jenayah buli ini bakal mendatangkan kesan negatif kepada mangsa dari aspek zahir dan batin. Kesan luaran yang dilihat pada mangsa buli ialah kecederaan yang dialami pada fizikal mereka dan besar kemungkinan kecederaan yang parah akan membawa kepada kematian. 

Kesan dalaman pula ialah kesan psikologi ke atas mangsa buli seperti trauma, hilang keyakinan diri, dan hilang fokus terhadap pelajaran. Ada sesetengah mangsa yang mengalami tekanan akan menanam azam untuk membalas dendam kepada orang lain. 

Hal ini dilakukan bertujuan untuk mengembalikan harga diri mereka kembali. Manakala pelajar yang  membuli pula akan dikenakan tindakan seperti digantung persekolahan. Maka hal ini akan berterusan sehingga tiada noktah penghujungnya.

Cara Mengatasi Buli Di Sekolah

Peningkatan jenayah buli tidak wajar dipandang sebelah mata oleh semua pihak apatah lagi jika mengakibatkan kematian. Semua organisasi harus bersatu padu dalam usaha membanteras jenayah buli dalam kalangan masyarakat. 

Peranan ibu bapa sangatlah penting dalam menangani permasalahan jenayah buli. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan pemimpin yang utama dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Bak kata pepatah, “kepimpinan menerusi tauladan”. Ibu bapa boleh menerapkan adab dan akhlak yang terpuji bagi melahirkan generasi modal insan yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti yang mulia. 

Di samping itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak-anak bagi memastikan mereka tidak bersama dengan rakan yang tidak bermoral. Sebagai contoh ibu bapa perlu membuat perbincangan dengan anak-anak tentang aktiviti atau program hujung minggu yang akan dilakukan bagi mengelakkan mereka terjebak ke kancah yang negatif.

Para pelajar juga haruslah peka dengan siapa mereka berkawan. Hal ini kerana seseorang individu tersebut sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh perangai rakan sebaya mereka. Jika baik perangai rakan-rakan mereka, maka baik juga sikap mereka nanti. Penglibatan aktif kumpulan pelajar dalam persatuan seperti Persatuan Pencegahan Jenayah dan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya turut menjadikan pelajar tersebut terhindar daripada gejala sosial yang tidak berfaedah.

Selain itu, filem dan rancangan televisyen yang menyiarkan aksi yang ganas juga harus disaring terlebih dahulu oleh Lembaga Penapisan Filem. Hal ini kerana pelajar mudah terikut-ikut dengan adegan yang ditunjukkan seperti di dalam filem tersebut. Pemilihan meduim tontonan yang bersesuaian juga sangat digalakkan bagi membina sahsiah seterusnya memupuk perkembangan minda pelajar. Misalnya, ibu bapa boleh memilih rancangan televisyen yang bersesuaian dengan pelajar semasa membuat pemilihan rancangan dari rangkaian televisyen terbesar seperti Astro.

Tuntasnya, jenayah buli ini wajar dibanteras bersama sebelum menjadi barah dalam segenap lapisan masyarakat. Jenayah buli ini akan membantutkan proses kemajuan sesebuah negara jika tidak dibendung dengan sebaiknya. Oleh itu semua pihak harus berusaha sama bagi mengekang jenayah sosial ini sekaligus memacu negara ke puncak kecemerlangan. 

Bibliografi
Nur Amalina Othman, “Buli”. Punca Dan Langkah Mengatasinya,http://norsafarinakassim.wixsite.com/usim-today-first/single-post/2015/05/08/%E2%80%9CBULI%E2%80%9D-PUNCA-DAN-LANGKAH-MENGATASINYA, diakses pada 16 Jun 2017.
Azizi Yahaya, Gejala Buli Di Kalangan Pelajar Sekolah,http://eprints.utm.my/10340/1/buli.pdf, Universiti Teknologi Malaysia, diakses pada 16 Jun 2017.
Polis Teliti Semula Kes Buli Dan Pukul T. Nhaveen Sebagai Kes Bunuh,http://www.astroawani.com/berita-malaysia/polis-teliti-semula-kes-buli-dan-pukul-t-nhaveen-sebagai-kes-bunuh-146371, diakses pada 16 Jun 2017.