Peluang Kerjaya Dalam Bidang Perhotelan Di Malaysia

Peluang kerjaya dalam bidang perhotelan di Malaysia untuk graduan Diploma Pengurusan Perhotelan sebenarnya amat luas dan banyak di Malaysia. Fungsi industri perhotelan adalah untuk membekalkan tempat kediaman bersifat sementara buat para pengunjung atau pelancong tidak kira dari dalam ataupun luar negara. Berdasarkan statistik yang diambil daripada Malaysian Association of Hotels (2013) mengenai jumlah hotel yang berdaftar di seluruh negara, sebanyak 2445 hotel berdaftar (163194  bilik) telah beroperasi di seluruh negara. Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia membolehkan pertambahan bilangan pelancong dari luar negara datang ke Malaysia. Hal ini sekaligus, meningkatkan jumlah pelancong untuk mendiami hotel yang sedia ada dalam jangka masa yang pendek.

kerjaya dalam bidang Diploma Perhotelan

Mengikut statistik daripada Tourism Malaysia (2002) pula, sebanyak 47 peratus daripada  penginap hotel merupakan pelancong dari luar negara. Statistik ketibaan pelancong asing ke Malaysia menunjukkan peningkatan dari semasa  ke semasa.

Perkembangan sektor pelancongan turut menyebabkan peningkatan jumlah hotel dalam industri perhotelan itu sendiri. Selain itu, peluang perkerjaan yang banyak dalam industri perhotelan perlu dimanfaatkan oleh pengurus untuk memilih perkerja mereka yang berkualiti.

Menurut sumber yang diperolehi daripada World Travel and Tourism Council (WTTC) (2010), industri pelancongan dan hospitaliti negara telah mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan pada tahun 2010 di mana jumlah ini adalah 11.9 peratus daripada kesemua jumlah pekerjaan di seluruh negara. Jumlah ini menunjukkan sektor pelancongan dan perhotelan menyumbang kadar peluang pekerjaan yang tinggi dan pemilihan pekerja yang betul-betul berkelayakan untuk berkerja adalah perlu.

Malaysia merupakan antara negara yang wajib dilawat oleh pelancong luar dan dalam negara pada tahun 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia. Malaysia menduduki kedudukan 10 negara yang perlu dilawat. Berdasarkan fakta-fakta tersebut, Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan yang terbesar di rantau Asia.

Di Malaysia, industri ini bermula pada zaman kesultanan Melayu Melaka apabila banyak  pedagang asing datang berdagang di pelabuhan Melaka. Pedagang asing dari China, Arab, Eropah dan negara-negara lain telah menjadikan pelabuhan Melaka sebagai tempat persinggahan sementara (motel) sebelum balik ke negara asal mereka.

Sejak tahun 1980 hingga 1990-an, industri perhotelan berkembang dengan pesat. Perkembangan yang paling ketara adalah pada tahun 1990-an apabila banyak syarikat hotel gergasi bertapak di Malaysia. Antara hotel antarabangsa yang mula beroperasi pada masa itu adalah Sheraton, Marriot, Ritz Carlton dan Regent (Karim, 2007).

Kini, pembangunan industri pelancongan di Malaysia adalah pada tahap yang membanggakan. Pembangunan industri pelancongan yang begitu pesat dewasa ini memerlukan  jumlah tenaga kerja yang besar bagi menyokong sektor-sektor perkhidmatan seperti perhotelan, restoran dan sebagainya. Sektor ini memerlukan pekerja yang mahir dan mempunyai tahap  pendidikan yang formal untuk menjamin kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada  pelancong (Lockyer and Scholarios, 2005).

Bagi melatih tenaga kerja mahir dalam bidang  perhotelan, pelbagai institusi pengajian tinggi, politeknik dan kolej komuniti menawarkan program-program yang bersesuaian dengan prospek kerjaya dalam bidang diploma perhotelan di Malaysia seperti diploma perhotelan, diploma pengurusan pelancongan dan hospitaliti, diploma seni kulinari, dan diploma pengurusan acara yang mempunyai permintaan yang tinggi daripada segenap lapisan masyarakat.

Masyarakat sekarang amat cenderung untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang hospitaliti. Hal ini kerana graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang hospitaliti dijangka akan menyumbangkan kepakaran mereka dalam sektor perhotelan.

Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian literatur, kebanyakan graduan program tersebut kurang berminat untuk memasuki pasaran kerja dalam sektor-sektor perhotelan yang memerlukan tenaga kerja yang insentif (Chuang at al,. 2007). Hal ini didorong oleh minat mereka dalam membuat keputusan pemilihan kerja. Graduan  bidang pelancongan seperti perhotelan dijangka akan meninggalkan industri perhotelan secara  pra-matang iaitu mereka hanya berkhidmat di antara tiga hingga lima tahun (Chuang at al,. 2007). Selepas tempoh tersebut, kebanyakan graduan tersebut akan berhenti dari pekerjaan mereka.

Berdasarkan statistik yang diambil daripada laporan WTTC (2002), mengenai impak  pelancongan ke atas ekonomi dan pertambahan pekerjaan kepada negara, terdapat sebanyak 231 hotel di Sarawak iaitu sebanyak 11,616 bilik hotel boleh di dapati di Kuching, Sarawak sahaja.

Pengurusan sesebuah hotel yang baik adalah bergantung kepada kualiti perkerja sesebuah hotel tersebut. Maka, proses pengrekrutan dan penapisan perkerja perlu dilakukan dengan lebih efektif sebelum mengambil seseorang untuk berkerja. Kekurangan kemahiran dalam pengrekrutan menyebabkan matlamat untuk mendapatkan pekerja yang terbaik dalam industri hotel tidak tercapai (Lockyer and Scholarios, 2005). Pekerja yang berkemahiran dapat memudahkan serta memajukan organisasi untuk mencapai objektif mereka.

Konklusinya, industri perhotelan merupakan salah satu bentuk pelaburan yang masih segar di Malaysia. Negara Malaysia merupakan salah satu negara yang memandang serius di dalam pembangunan industri pelancongan. Industri pelancongan ini telah dikenal pasti sebagai salah satu bentuk pelaburan yang boleh mendatangkan pendapatan besar dan lumayan kepada negara. Industri perhotelan merupakan salah satu komponen yang menyumbang kepada pendapatan serta pembangunan ekonomi negara. Peranan industri perhotelan telah diteliti bagi mendapatkan faedah kepada negara. Malahan, industri perhotelan telah mendapat banyak latihan daripada pihak yang berkaitan seperti kerajaan bagi menaiktaraf sektor perhotelan di negara Malaysia.