Tips Persediaan Menghadapi Peperiksaan UPSR, SPM, STPM

Peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM sudah pasti memerlukan persediaan serta ulangkaji yang konsisten lebih daripada sekadar membaca semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi dan efektif maka sudah tentu ramai dalam kalangan pelajar bakal  mendapat natijah yang tidak setimpal dengan usahanya. 

Sesungguhnya, anda tidak perlu takut atau pun cemas tatkala berdepan dengan peperiksaan. Hal ini kerana sama ada anda bersedia atau pun tidak anda akan tetap berhadapan dengannya. Oleh itu, lebih baik anda fokus kepada persediaan serta perancangan anda untuk berjuang di medan peperiksaan tersebut. 

Untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, pelajar perlu bersedia dari segala aspek tidak kira dari aspek mental, fizikal, emosi mahupun rohani dan bukan setakat menghafal dan mengulangkaji semata-mata.  Persediaan yang sistematik menjadi bekalan yang cukup ampuh untuk memupuk keyakinan yang tinggi dalam diri seorang pelajar yang sedang berjuang di medan peperiksaan.

Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR, SPM dan STPM

Persedian Emosi

Bagi menyahut seruan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, para pelajar harus bersedia dari segenap aspek dan bidang sama ada aspek intelek, jasmani, emosi mahupun rohani. Di samping, itu pelajar juga perlu sentiasa bermotivasi tinggi serta berfikiran positif dalam usaha untuk mencapai kestabilan emosi sewaktu menduduki peperiksaan. Tinggalkan sebentar perkara remeh temeh yang tidak sepatutnya difikirkan dan dengan tenang terus melangkah menuju ke dewan peperiksaan.

Kesihatan

Antara tips yang sering dilupakan adalah menjaga kesihatan diri dari sebarang penyakit bermula dari mengulangkaji pelajaran hinggalah saat ke dewan peperiksaan. Kesihatan adalah salah satu nikmat yang sering kita lupa. Sekiranya anda tidak mempunyai kesihatan jasmani yang baik sudah tentu perkara ini akan mengganggu proses persediaan sebelum menghadapi peperiksaan sekaligus mengakibatkan keputusan yang agak mendukacitakan.

Bagi memastikan anda kelihatan segar dan bermaya ketika menghadapi peperiksaan, pastikan anda mempunyai waktu tidur yang mencukupi. Tidur yang cukup adalah sekitar 6 hingga 7 jam sehari.  

Implikasi kurang tidur akan mengakibatkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit.  Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.  Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang. 

Ada dalam kalangan pelajar yang sanggup berjaga malam semata-mata ingin mengulangkaji semua silibus mereka namun tindakan ini sangat berisiko kerana akan mengakibatkan mereka terlajak tidur sehingga lewat masuk ke dewan peperiksaan. Tindakan yang sewajarnya adalah tidur awal sekitar jam 10.00 malam dan bangkit semula seawal jam 4.00 pagi. Suasana persekitaran pagi yang segar mampu membantu pelajar menghadam setiap subjek dengan lebih efisyen.

Pemakanan

Antara tips lain adalah pelajar perlu menjaga aspek pemakanan seharian. Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya “makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57).  Yang dimaksudkan sebagai yang baik di sini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).  

Kepada ibu bapa di luar sana pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal dan bersih. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka sekaligus membantutkan proses menuntut ilmu. Pelajar juga sangat digalakkan memakan makanan sunnah seperti tamar, kekacang, madu, kismis, habatussauda’ dan banyak lagi.

Berhati-hati Dengan Aktiviti Luar

Pelajar diingatkan untuk tidak terlalu aktif beriadah sehingga meletihkan anggota badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akhirnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda digalakkan untuk beriadah atau bersenam selama 20 minit bagi setiap sesi dan sebanyak tiga kali sahaja dalam seminggu.  

Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.  Di saat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bola sepak, takraw, badminton dan sebagainya.  Anda boleh melakukan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

Keselamatan Diri

Di samping itu, anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.  Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Elakkan diri dari sebarang kecederaan.  

Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan dalam wad di hospital bukan.  Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim  menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada di rumah.

Peranan Ibubapa

Semua ibu bapa sentiasa meninginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Tidak ada ibu bapa yang tidak mendambakan kejayaan serta kecemerlangan anak-anak.  Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan serta hasrat mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak.  

Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban serta tekanan kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka.  Kepada ibu bapa, saya sarankan agar doronglah anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.  

Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh.  Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak.  Hal ni sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan ke atas diri anak-anak.

Konklusinya, bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah sentiasa berfikiran positif.  Fokuskan mental anda kepada matlamat yang dinginkan serta hasil yang anda harapkan.  Anda tidak perlu bimbang dengan keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya. Ingatlah bahawa keunggulan yang sebenar bukan kerana kita tidak pernah jatuh tetapi kita bangkit setiap kali kita jatuh. Akhir kata, selamat menduduki peperiksaan bagi seluruh calon UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM di seluruh Malaysia pada tahun ini.