Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 5)

Seni dalam mendidik merupakan antara perkara penting dalam usaha melahirkan generasi modal insan yang diingini. Rasulullah SAW turut menggunakan pendekatan seloka dan bergurau senda sewaktu pengajaran Baginda. Antara kaedah pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah adalah bergurau yang tidak keterlaluan dengan para sahabat. Akan tetapi Baginda tidak berseloroh dan bergurau melainkan pada perkara benar sahaja. Banyak ilmu yang dapat Baginda salurkan ketika bergurau senda.

Teknik pengajaran Rasulullah SAW siri 5

Anda digalakkan untuk membaca artike ‘Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW Siri 1, 2, 3 dan 4 untuk memahami kesinambungan topik ini.

Sebagai contoh, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik beliau berkata: Seorang lelaki memohon daripada Rasulullah SAW agar ia menunggang unta, lalu kata Baginda: Sesungguhnya daku akan membawamu menaiki anak unta. Lelaki itu terus berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang boleh kulakukan dengan anak unta ini? Maka sabda Baginda: Bukankah unta yang besar ini juga berasal daripada ibu unta? Iaitu anak unta juga.

Kita mendapati bahawa Baginda memahamkan sahabat menerusi kaedah gurauan yang lembut kerana unta walaupun ia besar dan menanggung beban yang berat tetapi ia masih dikira anak unta. Peringatan dari Baginda kepada golongan pendidik dan yang lainnya apabila mendengar sesuatu perkataan, maka hendaklah ia memerhatikannya terlebih dahulu dan agar tidak tergopoh-gapah menjawabnya. Hal ini merupakan suatu akhlak yang amat perlu dimiliki oleh seorang pendidik bagi memastikan kejayaannya dalam bidang pendidikan. Walaupun Baginda bergurau, namun perkataan yang keluar daripada mulut Baginda hanyalah perkataan yang benar kerana sesungguhnya semua jenis unta itu berasal daripada anak unta juga. Hadis ini juga mengingatkan kepada kita agar memerhatikan perkataan-perkataan yang dalam maksudnya atau tersirat maknanya.

Selain itu, Baginda juga menggunakan teknik mengukuhkan pengajaran dengan bersumpah. Rasulullah SAW ketika memulakan bicara, banyak dimulai dengan bersumpah dengan nama Allah yang Maha Suci, sebagai peringatan tentang kepentingan perkara yang disampaikan, menguatkan hukum yang terkandung dan menjadi penegas kepada kata-kata tersebut. Kata Imam Ibnu Qayyim di dalam kitabnya, Baginda menggunakan lafaz sumpah terhadap perkara hak yang disampaikan lebih daripada 80 kali. Dalam Quran juga terdapat tiga tempat yang menjelaskan Allah Taala telah mengarahkan Baginda menggunakan lafaz sumpah.

Contohnya, seperti yang telah diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah beliau berkata bahawa Nabi pernah bersabda: Demi jiwaku yang berada di tanganNya, kamu sekalian tidak akan memasuki syurga melainkan setelah kamu beriman dan kamu tidak dikira memiliki iman yang sempurna melainkan setelah kamu berkasih sayang. Adakah kalian mahu agar kutunjukkan kepada kamu mengenai suatu perkara yang apabila kamu melakukan perkara tersebut nescaya kamu akan berkasih sayang sesama kamu? Sebarkanlah salam sesama kamu.

Di samping itu, Baginda juga menggunakan teknik pengulangan bicara kata sebanyak tiga kali sebagai penegasan. Baginda mengulangi kata-kata Baginda bagi menguatkan dan menegaskan isi kandungan ucapan tersebut. Ia mengingatkan para pendengar akan kepentingannya dan dapat memahami serta mencerna apa yang disampaikan oleh Baginda. Justeru, Imam Bukhari telah mendatangkan beberapa hadis yang berkaitan dengan kaedah ini. Antara hadis tersebut adalah seperti yang telah diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik daripada Nabi, sesungguhnya apabila Baginda berbicara, ia akan mengulanginya sebanyak tiga kali agar ia dapat difahami.

Antara pengajaran daripada hadis di atas adalah seorang pendidik hendaklah mengajar orang yang jahil tentang hukum-hakam agama, harus meninggikan suara ketika melihat perkara yang mungkar atau yang tidak bertepatan dengan arahan agama serta mengulangi ucapan dan perkataan agar ia dapat difahami oleh para pendengar. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, sesungguhnya maksud perkataan Baginda yang mengatakan sebanyak dua atau tiga kali berpunca dari keraguan perawi hadis ini. Ia merupakan suatu dalil bahawa pengulangan sesuatu bicara sebanyak tiga kali bukannya satu kemestian kerana yang penting ialah kefahaman bukannya pengulangan. Oleh itu, apabila kefahaman dapat diperoleh tanpa pengulangan sebanyak tiga kali, maka itu dikira sudah memadai.

Antara lain Baginda juga menggunakan teknik menukar cara duduk dan pengulangan kata-kata demi menggambarkan peri pentingnya perkara yang ingin disampaikan. Ada ketikanya, Baginda menukar cara duduk Baginda dan mengulangi kata-kata yang disampaikan sebagai gambaran tentang peri penting perkara yang perlu disampaikan dan yang diperingatkan.

Contohnya, seperti yang telah diriwayatkan daripada Abi Bakrah beliau berkata: Bersabda Rasulullah: Mahukah kalian jika daku khabarkan terhadap kalian tentang sebesar-besar dosa? Baginda mengulangi persoalan ini sebanyak tiga kali. Maka kami menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: menyekutukan Allah Taala dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

Baginda pada mulanya duduk menyandar kemudian duduk seperti biasa dan terus bersabda lagi: Ketahuilah bahawasanya ia(dosa besar) adalah kata-kata yang palsu dan penyaksian palsu. Baginda terus mengulang-ulang perkataan ini sehinggalah daku iaitu Saidina Abi Bakrah merasakan Baginda tidak akan berhenti daripada mengulang-ulang perkataan ini. Pengulangan kata-kata Baginda dan perubahan kedudukan Baginda kepada suatu kedudukan yang lain adalah untuk menarik perhatian para pendengar akan bahayanya perkara yang diperingatkan iaitu penyaksian yang palsu.

Akhir kata, selamat beramal dengan teknik-teknik pengajaran Baginda SAW agar lebih ramai yang bakal meraih manfaatnya.