Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 2)

Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas setiap insan yang ingin mencari kecemerlangan di dunia dan akhirat. Tanpa ilmu, manusia akan mengalami kehidupan dalam keadaan teraba-raba. Manusia tidak benci ilmu tetapi sering tertutup minat untuk mencari ilmu disebabkan penyampaian yang membosankan, tidak eektif, atau tidak serasi dengan jiwa mereka. Semua orang berpotensi untuk belajar, apa yang kritikal ialah uslub atau metodologi penyampaian ilmu yang boleh membantu atau membantutkan proses pembelajaran tersebut. Teknik pengajaran Rasulullah SAW boleh dicontohi oleh para pendidik di luar sana agar pengajaran yang disampaikan mampu memberi kesan yang positif kepada para pelajar.

Teknik-teknik pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah SAW

Antara teknik pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah melukis dan melakar atau dalam erti kata lain menggunakan peta minda. Rasulullah menggunakan teknik melukis dan melakarkan sesuatu bagi menerangkan perkara yang ingin disampaikan. Hal ini telah dibuktikan di dalam beberapa hadis Baginda SAW. Contohnya  seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Jabir dan Saidina Ibnu Abbas, berkata Saidina Jabir: Ketika kami sedang duduk bersama dengan Nabi, Baginda membuat satu garisan di atas tanah dengan menggunakan tangan Baginda. Seraya Baginda bersabda: Inilah jalan Allah SWT. Kemudian, Baginda membuat dua garisan di sebelah kanan Baginda dan dua garisan lagi di sebelah kiri. Setelah itu, Baginda bersabda, inilah jalan-jalan syaitan.

Para pendidik hendaklah mempelbagaikan kaedah pengajarannya dan antara kaedah yang digunakan oleh Baginda ialah melakar dan melukis sesuatu di atas tanah. Pada zaman moden ini, penggunaan kapur tulis, pen marker dan alat-alat tulis yang lain begitu meluas penggunaannya. Kaedah ini amat berkesan kerana ia berjaya menghimpunkan antara kaedah pendengaran dan kaedah penglihatan. Sebenarnya, kaedah ini dicedok dari sistem pendidikan yang telah dipelopori oleh pendidik terulung. Apa yang penting ialah kita perlu mengetahui kita telah menurut satu sunnah Nabi dengan mempraktikkan kaedah ini.

Selain itu, Rasulullah SAW juga menggunakan teknik menggabungkan percakapan dengan isyarat. Dalam mendidik, Baginda menghimpunkan dua kaedah serentak iaitu memberikan penerangan dalam bentuk perkataan dan sekaligus menunjukkannya dengan menggunakan kedua-dua tangan Baginda. Hal ini bertujuan memberi penjelasan tentang maksud perkara yang hendak disampaikan dan mengingatkan para pendengar akan peripentingnya perkara tersebut.

Sebagai contoh, diriwayatkan oleh Saidina Abi Musa al-Asyari, bersabda Rasulullah SAW: Hubungan seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat suatu binaan yang saling memperkukuhkan antara satu dengan yang lain. Kemudian, Baginda pun menyilang antara jari-jemari Baginda. Berdasarkan hadis yang diutarakan tadi, jelaslah kepada kita bahawa kaedah menghimpunkan dua kaedah di antara percakapan dan isyarat sekaligus merupakan suatu kaedah yang cukup efektif. Sesungguhnya, kaedah ini biasa digunakan cuma terkadang kita tidak menyedari bahawa metod ini ditiru daripada sumber terbaik iaitu Nabi Muhammad SAW.

Bagi zaman moden ini, bolehlah kita katakan bahawa teknik body language juga merupakan kaedah yang bersesuaian dengan kaedah ini. Menurut kaedah ini, guru tidak hanya mengajar dalam bentuk perkataan bahkan ia menggunakan tangan, mata dan seluruh pancaindera yang lain bagi menarik perhatian murid dan memudahkan proses kefahaman mereka.

Teknik yang seterusnya adalah Baginda mempamerkan benda yang dilarang sebagai penegasan terhadap pengharamannya. Baginda membawa sesuatu benda yang dilarang dan mengangkat benda tersebut untuk dioerlihatkan kepada para pendengar. Di sini, Baginda menghimpunkan dua perkara iaitu larangan tentang sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan dan pada masa yang sama juga penggunaan pancaindera mata oleh para hadirin untuk melihat bahan larangan tersebut.

Perkara ini lebih berkesan pada hati dan penerangan tentang larangan tersebut juga lebih jelas. Contohnya, daripada Saidina Ali bin Abi Talib beliau berkata: Rasulullah mengangkat sehelai kain sutera di sebelah tangan kiri Baginda dan emas di tangan kanan, kemudian mengangkat kedua-duanya ke atas lalu bersabda: Sseungguhnya kedua-dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki dan dihalalkan bagi umatku yang perempuan.

Di samping itu Baginda juga menggunakan teknik penyampaian maklumat tanpa didahului dengan persoalan. Baginda kerap kali memberikan pengisian ilmu dan maklumat kepada para sahabat tanpa didahului dengan pertanyaan daripada mereka terlebih dahulu, terutamanya pada perkara-perkara yang penting yang tidak terlintas di hati setiap orang untuk bertanya mengenainya. Baginda mengajar para sahabat jawapan-jawapan terhadap persoalan yang boleh menimbulkan kekeliruan sebelum berlakunya perkara tersebut kerana bimbang ia akan melekat dalam hati atau memberikan kesan yang buruk jika perkara tersebut terjadi.

Seterusnya, Baginda juga menggunakan teknik menjawab persoalan yang diajukan. Contohnya, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Jabir daripada Saidina Rasulullah SAW: Bahawasanya ubat bagi kejahilan ialah pertanyaan. Para sahabat bertanya Baginda tentang perkara yang menjadi kesamaran dalam kalangan mereka agar memperoleh penerangan dan kefahaman mengenainya di samping menambahkan keimanan mereka. Jawapan yang diberikan oleh Baginda pula cukup memuaskan hati mereka. Kaedah bersoal jawab yang digunakan oleh Baginda sememangnya kerap digunakan dalam proses pendidikan namun yang lebih penting adalah memelihara adab-adab dan garis panduan yang telah digariskan oleh Islam agar kaedah ini dapat dimanfaatkan oleh semua.

Konklusinya, teknik pengajaran Rasulullah SAW ini sewajarnya diaplikasi oleh seluruh warga pendidik bagi menghasilkan tenaga pengajar akademik yang lebih professional, berkaliber, dan cemerlang.