Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 4)

Sewaktu sesi pengajaran Rasulullah SAW, Baginda turut menggunakan teknik menyerahkan kepada pendengar untuk menjawab persoalan bagi menguji mereka. Apabaila diajukan persoalan, Baginda menyerahkan kepada salah seorang dari sahabat Baginda untuk menjawab persoalan tersebut. Hal ini bagi menguji dan melatih para sahabat tersebut agar menjawab persoalan-persoalan berkaitan secara ilmiah. Sebahagian bentuk latihan yang Baginda lakukan kepaa para sahabat ialah mengarahkan kepada mereka agar menyelesaikan beberapa masalah di hadapan Baginda.

Meneladani teknik pengajaran Rasulullah SAW

Anda digalakkan untuk membaca entri kami yang terdahulu mengenai ‘Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW Siri 1, Siri 2, dan Siri 3.

Sebagai contoh, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abdullah bin Amru al-As, dua orang lelaki sedang bertelingkah datang menemui Baginda, lalu Nabi berkata kepada Saidina Amru: Selesaikanlah kes ini. Saidina Amru bertanya: Adakah patut daku menghukum sedangkan Rasulullah berada di hadapan kami? Ya! Jawab Baginda, Saidina Amru bertanya lagi: Atas dasar apa daku perlu menghukum? Lalu Baginda pun bersabda: Sekiranya kamu berijtihad dan ijtihadmu itu benar maka kamu mendapat sepuluh pahala dan sebaliknya jika kamu tersilap di dalam ijtihadmu, maka bagimu satu pahala.

Selain itu, Baginda juga menggunakan teknik menguji orang yang telah mengetahui tentang sesuatu perkara dan memujinya jika jawapannya tepat. Dalam mendidik, Baginda menguji beberapa sahabat dengan cara bertanya mengenai sesuatu ilmu bagi menguji kecerdikan dan pengetahuannya. Jika jawapan sahabat tersebut tepat dan betul, maka Baginda akan memujinya dan menepuk dada sahabat tersebut sebagai menandakan bahawa ia layak menerima kasih sayang daripada Rasulullah SAW dan sebagai suatu penghargaan daripada Baginda terhadap jawapannya yang tepat itu.

Antara hadis yang menunjukkan perkara ini adalah seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ubai bin Kaab ia berkata, telah bersabda Nabi: Wahai Abu Munzir, apakah ayat al-Quran yang paling agung di sisimu? Daku menjawab bahawa Allah Taala dan RasulNya lebih mengetahui tentang perkara tersebut. Rasulullah bertanya lagi: Wahai Abu Munzir! Adakah kamu tahu apakah ayat al-Quran yang paling agung di sisimu? Aku menjawab: Ayat Kursi! Lalu Rasulullah menepuk dadaku dan bersabda: Moga ilmumu akan diberkati wahai Abu Munzir.

Menerusi hadis ini dapatlah disimpulkan bahawa seorang pendidik perlulah menunjukkan kasih sayangnya kepada anak murid seperti mana yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Harus hukumnya seorang guru memuji muridnya apabila ia melakukan perbuatan yang baik dan terpuji seperti memberikan jawapan yang tepat. Hal ini sebagai rangsangan yang akan membangkitkan semangat murid tersebut. Seorang pendidik yang berjaya adalah yang mampu mendidik muridnya dengan perasaan penuh kaish sayang.Tidak syak lagi bahawa perbuatan Nabi memuji dan menyapu dada sahabat yang berjaya menjawab dengan tepat sebagai dalil bahawa Baginda bersifat dengan belas kasihan dan kasih sayang.

Teknik Baginda yang seterusnya adalah mendiamkan diri dan membenarkan perkara yang berlaku. Hal ini merupakan salah satu bahagia sunnah di mana para ulama’ usul fiqh dan ulama’ hadis menamakannya sebagai pengakuan atau ikrar. Sebarang perkara yang berlaku di hadapan Nabi sama ada perbuatan atau perkataan lalu Baginda membenarkannya dengan cara berdiam diri atau melahirkan rasa redha terhadapnya.Ia dianggap sebagai suatu penerangan daripada Nabi mengenai keharusan perkara tersebut. Sesungguhnya amat banyak pengajaran ilmiah yang dapat diambil daripada Baginda melalui teknik ini.

Contohnya, seperti hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Amru al-As beliau berkata: Aku bermimpi sehingga menyebabkan junub pada suatu malam yang sejuk dalam suatu peperangan yang bernama Zat Salasil. Maka daku takut sekiranya daku mandi junub nescaya daku akan binasa lalu daku cuma bertayammum kemudian mendirikan solat Subuh secara berjemaah bersama-sama para sahabatku. Lalu mereka mengadu kepada Nabi akan perkara tersebut.

Bersabda Nabi: Wahai Amru, apakah kamu slat bersama dengan sahabat-sahabatmu dalam keadaan kamu berjunub? Maka daku memberitahu Baginda mengenai perkara yang menghalangku untuk mandi dan daku berkata: Sesungguhnya daku mendengar suatu firman Allah Taala yang berbunyi: dan janganlah kamu membunuh diri, sesungguhnya Allah Taala itu Maha Pengasih terhadap kalian. Lalu Nabi ketawa dan tidak berkata apa-apa.

Senyuman Baginda merupakan suatu dalil mengenai keharusan bertayammum semasa berada dalam suasana yang terlalu sejuk kerana senyuman Baginda dianggap sebagai suatu pengiktirafan bahkan ia merupakan dalil yang lebih kuat daripada diam semata-mata tanpa membenarkan atau menyalahkannya.

Di samping itu, Baginda juga menggunakan kesempatan terbaik bagi menyampaikan ilmu. Dalam banyak keadaan Baginda bijak menggunakan kesempatan terbaik bagi menyampaikan mesej ilmu dengan menghubungkan antara kesesuaian waktu dengan ilmu yang ingin disampaikan dan disebarkan.

Konklusinya, Islam merupakan agama wasatiah iaitu pertengahan yang meraikan segala naluri manusia. Oleh itu, seorang muslim yang sejati ialah seorang insan yang mampu menunaikan segala kewajipannya terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai hak ke atasnya. Semoga dengan mengamalkan teknik pengajaran Rasulullah ini, para pendengar dapat menerima manhaj ini dengan penuh gembira kerana penyampaiannya lebih jelas, mudah difahami di samping memperoleh pengetahuan yang mendalam terhadap ilmu yang didengari dan dipelajari oleh mereka.