Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 3)

Rasulullah SAW cukup terkenal sebagai murabbi yang agung. Antara teknik pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah menambah jawapan lebih daripada perkara yang ditanya. Adakalanya Baginda menjawab persolan yang diajukankepada Baginda dan menambah jawapan tersebut sekiranya Baginda mendapati bahawa si penanya memerlukan huraian yang lebih daripada soalannya. Hal ini membuktikan betapa Baginda mempunyai sikap belas kasihan dan keprihatinan yang tinggi terhadap golongan yang menuntut ilmu.

Anda mungkin berminat dengan entri terdahulu kami mengenai Teknik Pengajaran Rasulullah SAW SIRI 1 dan SIRI 2. Anda boleh membaca entri itu terlebih dahulu untuk mendapatkan kesinambungan tips ini.

Teknik  Pengajaran Rasulullah SAW

Contohnya, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah bahawa beliau berkata: seorang lelaki daripaa bangsa Mudij bertanya kepada Baginda, wahai Rasulullah, kami berada di lautan dan cuma membawa sedikit sahaja air yang bersih untuk diminum. Sekiranya kami menggunakan air itu untuk berwuduk nescaya kami akan dahaga. Adakah boleh kami berwuduk menggunakan air laut? Maka jawab Baginda, airnya suci lagi menyucikan dan segala bangkainya pula halal.

Sekiranya kita memerhatikan hadis yang mulia ini nescaya kita dapati bahawa Baginda telah menjawab persoalan daripada lelaki berbangsa Mudlij tadi yang merupakan seorang pelayar di lautan mengenai hukum berwuduk dengan menggunaka air laut. Baginda menjelaskan bahawa sesungguhnya air itu suci dan boleh digunakan untuk berwuduk. Kemudian, Baginda berasa bimbang sekiranya kesamaran kepada pelayar itu mengenai hukum bangkai yang terdapat padanya lalu Baginda menerangkan pula bahawa bangkai di laut halal dimakan dan boleh dimanaatkan, lantaran itu Baginda menambah jawapan bahawa halal bangkai yang terdapat di dalamnya.

Penambahan jawapan ini amat penting kerana ia menerangkan tentang kesucian air laut walaupun banyak binatang yang mati di dalamnya malah bangkai itu sendiri pun halal untuk dimakan kecuali bangkai yang beracun. Pengetahuan mengenainya amat diperlukan oleh pelayar kerana adakalanya ia perlu untuk memakan bangkai tersebut sama ada secara sukarela iaitu pilihan ataupun secara terpaksa Oleh itu, tidak mengapa ia makan atau menyimpannya. Metod dan teknik ini perlu dicontohi bagi memastikan visi dan misi pengajaran seseorang yang ingin mendidik ummah mencapai kejayaan.

Selain teknik yang disebutkan di atas, Baginda juga menggunakan teknik berpaling dari soalan yang dikemukakan iaitu dengan memberi jawapan yang lain. Antara manhaj yang menjadi agenda utama Baginda dalam mengajar juga adalah mengalih fikiran penyoal daripada soalannya kepada jawapan yang lain bagi tujuan yang penuh hikmah.

Antara dalil dan buktinya ialah seperti yang telah diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi, bilakah berlakunya hari kiamat wahai Rasulullah? Baginda bertanya: Apakah persediaan yang telah kamu lakukan untuknya? Jawab lelaki itu: Tidaklah daku sediakan untuknya dengan memperbanyakkan solat, puasa atau sedekah tetapi mencintai Allah Taala dan RasulNya. Sabda Baginda: Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.

Jika kita meneliti hadis ini kita mendapati bahawa lelaki tersebut bertanya mengenai bilakah akan berlakunya hari kiamat lalu Baginda memalingkan persoalan tersebut kepada perkara lain yang dianggap lebih penting daripada soalan yang diajukan dan lebih besar manfaatnya iaitu bersedia dengan amal soleh bagi menghadapi hari yang penuh dengan dugaan itu, lantas Baginda menimbulkan persoalan kepada lelaki tersebut: Apakah yang telah kamu sediakan bagi menghadapi hari itu? Cinta akan Allah Taala dan RasulNya: jawab lelaki tersebut, lalU Baginda pun bersabda: Kamu akan bersama dengan  orang yang kamu cintai.

Baginda juga menambah bahawa sesungguhnya manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintai. Hal ini sebagai suatu peringatan bagi manusia agar tidak memilih sahabat dan teman daripada golongan yang tidak baik kerana nescaya di akhirat kelak ia akan bersama dengan orang yang menjadi temannya semasa di dunia dahulu.

Kaedah memalingkan persoalan kepada suatu persoalan lain yang lebih penting ini dinamakan sebagai uslub haki iaitu teknik ahli hikmah. Ia bermaksud mengalih persoalan yan dikemukakankepada perkara yang lebih penting dan dan lebih bermanfaat daripada perkara yang ditanya.

Selain itu, Baginda juga menggunakan teknik meminta penyoal mengulangi pertanyaannya agar jawapan yang diberikan lebih sempurna. Baginda meminta si penyoal agar mengulangi semula soalannya walaupun Baginda telah memahami secara jelas soalan tersebut. Kaedah ini bertujuan untuk menambahkan ilmu bagi orang yang bertanya atau agar Baginda memberi jawapan tambahan atas jawapan yang telah diberikan atau bertujuan memberikan penerangan yang lebih jelas kepada penanya.

Sebagai contoh, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abi Qatadah. Sesungguhnya Rasulullah berdiri di tengah-tengah manusia lalu menyebutkan bahawa sesungguhnya berjihad di jalan Allah dan beriman denganNya  merupakan sebaik-baik amalan. Lantas berdiri seorang lelaki lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW apakah pandanganmu sekiranya daku terbunuh ketika berjuang pada jalan Allah, adakah ia akan menghapuskan seluruh dosa-dosaku? Sabda Baginda: Benar, sekiranya kamu terbunuh di jalan Allah dalam keadaan kamu sabar, sentiasa mengharapkan ganjaran daripada Allah Taala, terus mara dan tidak mundur.

Kemudian Baginda bertanya: Apakah yang kamu katakan tadi? Lelaki itu berkata: Apakah pandanganmu sekiranya daku terbunuh ketika berjuang di jalan Allah Taala, adakah ia akan menghapuskan segala dosa-dosaku? Rasulullah menjawab: Ya! Sekiranya kamu sabar, mengharapkan ganjaran daripada Allah Taala, terus mara dan tidak berundur kecuali dosa keengganan untuk melunaskan hutang kerana sesungguhnya Saidina Jibril telah berpesan kepadaku mengenai perkara ini. Tujuan Baginda Rasulullah bertanya semula kepada penanya akan soalannya ialah agar Baginda dapat menambah jawapan yang sedia ada agar jawapan yang diberikan sempurna, tepat dan difahami.

Akhir kata, semoga teknik-teknik yang disebut di atas mampu diaplikasi oleh seluruh warga pendidik di luar sana.