Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 7)


Baginda Rasulullah SAW banyak mengajar umatnya tentang teknik-teknik pengajaran terbaik dalam usaha memperbaiki sahsiah pelajar kearah yang lebih terdidik. Antara teknik pengajaran Baginda adalah menyampaikan sesuatu perkara secara umum kemudian menghuraikannya agar ia lebih jelas dan lebih mudah untuk diingati dan difahami. Hadis yang memperingatkan kita agar tidak menyakiti hati jiran juga adalah termasuk di dalam metod ini.

mencontohi teknik pengajaran Rasulullah SAW

Anda digalakkan untuk membaca entri kami terdahulu mengenai topik ini iaitu Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW Siri 1, 2, 3, 4, 5 dan 6

Hadis tersebut adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abi Shuraih al-Khuzaie' sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Demi Allah tidaklah beriman (baginda mengulangi perkataan ini sebanyak tiga kali. Apabila ditanya, siapakah wahai Rasulullah? Baginda menjawab: iaitu orang yang jirannya tidak aman daripada kejahatan gangguannya.

Antara teknik lain yang hampir sama dengan method ini adalah Baginda mengajar dengan menyebut bilangan tertentu secara umum, kemudian menerangkannya satu persatu. Ia bertujuan memberikan penjelasan yang lebih kepada pendengar dan lebih membantunya untuk mengingat dan memahaminya.

Sebagai contoh, hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ibnu Abbas katanya: Rasulullah pernah bersabda: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain. Maktu mudamu sebelum waktu tua, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit, waktu senang sebelum datang masa susah, waktu lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum datangnya kematian.

Selain itu Baginda juga menggunakan teknik pendekatan nasihat dan memberi peringatan. Hal ini bertepatan dengan saranan yang terdapat dalam kitab suci al-Quran yang berbunyi "dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman."

Contohnya, seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah al-Ansari katanya: Adalah Rasulullah apabila berkhutbah akan merah kedua matanya, tinggi suaranya, kemarahannya memuncak sehinggakan seolah-olah sebagai mengingatkan tentera yang ingin turun ke medan jihad dan Baginda berkata: Pagi dan petang kamu. Sabda Baginda lagi: Daku diutuskan dan hari qiamat adalah seperti dua ini lantas Baginda menyertakan kedua-dua jari Baginda iaitu jari telunjuk dan jari tengah.

Baginda terus bersabda: Adapun selepas itu, maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah kitab Allah Taala dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Baginda dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka dan setiap perkara yang bid'ah itu adalah sesat. Kemudian, Baginda bersabda lagi: Daku adalah lebih utama daripada setiap mukmin berbanding dengan dirinya sendiri. Sesiapa yang meninggalkan harta selepas kematiannya maka harta tersebut akan diwarisi oleh pewarisnya, sebaliknya bagi mereka yang mati dalam keadaan berhutang atau zuriat yang cacat anggota atau anak yatim yang tidak ada orang yang menjaganya maka dakulah yang menjaga dan membelanya.

Teknik yang seterusnya pula adalah kaedah galakan dan ancaman atau dikenali sebagai targhib dan tarhib. Metod dan teknik ini merupakan salah satu metod yang sering diguna pakai oleh Baginda dalam mengajar dan menyampaikan mesej dakwah Baginda. Baginda menggalakkan umat melakukan perkara yang baik dengan cara menyebut ganjarannya dan mengingatkan tentang manfaatnya. Demikian juga Baginda menakutkan umat daripada melakukan perkara yang tidak baik dengan mnyebut akan balasannya dan memperingatkan mereka akan keburukannya.

Bicara Baginda tidak sekali-kali hanya tertumpu kepada soal ancaman sahaja kerana nescaya ia akan menyebabkan manusia lari daripada dakwah Baginda juga tidak hanya membicarakan tentang berita gembira semata-mata kerana hal ini akan menyebabkan manusia bersikap malas dan enggan beramal.

Di samping itu, kerap juga Rasul Murabbi ini mengajar para sahabat dengan cara bercerita tentang kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada umat-umat yang terdahulu. Hal ini sangat memberikan impak serta kesan yang baik buat para pendengar di samping pandangan yang bernas melahirkan motivasi perasaan dan memberikan kesan ke dalam hati dan pendengaran. Hal ini kerana perkara ini tidak bersangkut paut dengan orang yang berinteraksi dengan Baginda sama ada berbentuk suruhan atau larangan, sebaliknya ia berkaitan dengan orang lain maka di situlah terdapatnya pengajaran, peringatan dan contoh teladan yang baik.

Sesungguhnya, Allah Taala telah mengajar kepada Baginda kaedah ini sebagaimana firmanNya di dalam ayat suci al-Quran yang berbunyi, " dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan padamu wahai Muhammad untuk menguatkan hatimu dengannya." Antara perkara tersebut ialah hadis Baginda yang mengandungi galakan berkasih sayang kerana Allah Taala dan persaudaraan yang tulus murni demi kebaikan dan agama semata-mata.

Antara kisah yang bertepatan dengan teknik ini adalah seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abi Hurairah daripada Nabi bahawa Baginda bersabda: Tatkala seekor anjing yang mengelilingi perigi dan sesungguhnya ia hampir-hampir mati kerana terlalu dahaga, tiba-tiba seorang penzina daripada Bani Israil melihat keadaan anjing tersebut, lalu ia menanggalkan kasutnya dan mengikatnya di kain tudungnya dan ia meletakkan air di dalam kasutnya dan memberi minum anjing tersebut dengan air itu maka Allah Taala mengampunkan dosa perempuan tersebut kerana perbuatannya yang mulia.

Konklusinya, terlalu banyak teknik-teknik pengajaran Rasulullah SAW yang perlu dipelajari serta diperhalusi kerana mendalami ilmu agama itu adalah suatu keperluan asasi bagi setiap muslim dalam usaha untuk menjamin kesahihan ibadah dan ketaatannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NOTE: Adakah anda rasa informasi ini bermanfaat? Jika YA mohon share info ini kepada kawan-kawan anda di FACEBOOK atau GOOGLE+. Sila komen secara berhemah. Terima Kasih