Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu Jam Kepada Pegawai Wanita Mengandung Dan Suaminya

Berita baik kepada wanita mengandung mulai 1 Januari 2018 anda dibenarkan pulang 1 jam lebih awal. Baru-baru ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada mengeluarkan pekeliling mengenai perkara ini. Pekeliling Perkhidmatan ini dikeluarkan bertujuan untuk menjelaskan pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam daripada masa bekerja biasa bagi pegawai wanita yang mengandung lima bulan dan ke atas serta juga dipanjangkan kepada suami yang merupakan pegawai Perkhidmatan Awam dan bekerja di lokasi yang berdekatan.

Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pegawai wanita dalam Perkhidmatan Awam. Pada masa ini, pegawai wanita telah diberikan kemudahan Cuti Bersalin dan Cuti Menjaga Anak.

Selaras dengan keprihatinan berterusan terhadap pegawai wanita, Kerajaan telah bersetuju memperkenalkan satu lagi inisiatif iaitu memberi kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita yang mengandung lima bulan dan ke atas. Kemudahan ini diberi demi kebajikan dan keselamatan pegawai wanita.

Kebenaran Pulang 1 Jam Awal Untuk Suami

Selain itu, kemudahan ini juga dipanjangkan kepada suami yang merupakan pegawai Perkhidmatan Awam dan bekerja di lokasi yang berdekatan yang pulang bersama isterinya bagi membolehkan suami membantu isteri semasa dalam perjalanan.

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018. Tentunya ini merupakan berita baik kepada kakitangan perkhidmatan awam di negara kita. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan kebajikan rakyatnya.

Untuk penjelasan dan maklumat lanjut sila baca Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 yang dikeluarkan oleh pihak JPA baru-baru ini.