Syarat Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Kelas Pertama

Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN. Adakah anda merupakan peminjam pinjaman PTPTN?

Tahukah anda, pihak PTPTN menawarkan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN bagi para pelajar yang menamatkan pengajian dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama di IPT.

Insentif ini dilaksanakan sejak dari tahun 2001, dan ditawarkan kepada semua pelajar menuntut di Universiti Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), serta Politeknik.

READ: Semakan Penyata Baki Pinjaman PTPTN Online

syarat pengecualian bayaran balik ptptn & cara memohon secara online

Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa insentif pengecualian bayaran balik PTPTN akan dilaksanakan tanpa mengira status ekonomi, agama serta bangsa dalam Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai 2022.

Segala maklumat lanjut mengenai cara permohonan, syarat kelayakan serta dokumen sokongan diperlukan akan disertakan dalam artikel ini.

Syarat Kelayakan Permohonan

Berikut merupakan senarai syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh para pelajar untuk melayakkan diri memperoleh insentif pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN:

  • Pelajar perlu mengikuti Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia.
  • Pelajar perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pada masa ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran pinjaman PTPTN.
  • Pelajar perlu memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama dari pihak IPT.
  • Pelajar tidak boleh memilik sebarang pinjaman lain yang bertindih dengan PTPTN.
  • Pelajar yang belajar di IPT Swasta (IPTS), hendaklah memastikan kursus diikuti memiliki Sijil Perakuan Akreditasi penuh daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dalam tempoh masa pinjaman dikeluarkan.
  • Pelajar perlu mengemukakan permohonan dalam tempoh masa 12 bulan dari tarikh konvokesyen.

Cara Memohon

Terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti ketika menghantar permohonan bagi pengecualian bayaran balik PTPTN.

Para pelajar boleh melakukan permohonan secara atas talian di portal laman web PTPTN, https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama.

Pelajar perlu log masuk ke dalam sistem, dengan menggunakan Nombor Pinjaman Peminjam serta Nombor Kad pengenalan.

Bagi pelajar yang tidak ingat nombor pinjaman mereka, anda boleh memperoleh info tersebut dengan menghubungi khidmat pelanggan PTPTN.

Seterusnya, sila klik pada butang “Mohon” dan kemaskini butiran-butiran yang diperlukan dalam borang tersebut.

Pelajar turut dikehendaki memuat naik segala dokumen sokongan yang diminta dalam borang permohonan.

Setelah membuat pengesahan, sila klik pada butang “ hantar”.

Para pelajar yang berjaya mendapat pengecualian akan dimaklumkan oleh pihak PTPTN dengan menghantar surat makluman rasmi ke alamat rumah.

Dokumen Sokongan

Berikut merupakan dokumen sokongan yang harus dimuat naik semasa melakukan permohonan atas talian:

  • Salinan  Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau kelayakan setaraf dengannya yang disahkan.
  • Salinan Sijil Perakuan Akreditasi disahkan oleh pihak MQA (pelajar dari IPTS).
  • Salinan transkrip keputusan peperiksaan disahkan oleh IPT.
  • Surat pengesahan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama (jika tidak dinyatakan pada skrol ijazah).
  • Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak disertakan tarikh pada transkrip/ skrol ijazah).

Bagi makluman pembaca, segala dokumen yang dimuat naik atas talian perlulah disahkan oleh para pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bahagian Akademik atau Bahagian Pengurusan Rekod yang mengeluarkan Ijazah di IPT).

Cop pengesahan perlu mengandungi nama pegawai, jawatan serta jabatan.

Cara Semak Status Permohonan

Para pelajar boleh menyemak status permohonan pengecualian dengan menggunakan dua kaedah dalam tempoh 60 hari daripada tarikh permohonan.

Kaedah pertama ialah dengan menyemak di portal PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama) dengan memasukkan nombor kad pengenalan.

Manakala, kaedah kedua ialah dengan menghubungi terus pihak khidmat pelanggan PTPTN bagi menyemak status permohonan.

Sebab Peminjam Tidak Mendapat Pengecualian Bayaran Balik PTPTN

Terdapat beberapa sebab utama peminjam tidak lulus dalam permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.

Antaranya ialah peminjam telah membuat permohonan melepasi tempoh yang diberikan (selepas 12 bulan dari tarikh konvokesyen), memiliki hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang belum diselesaikan serta mempunyai tajaan lain yang bertindih.

Oleh sebab itu, ia amat penting bagi para calon untuk memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan bagi memperoleh insentif ini.

Maklumat Perhubungan

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, sila mengubungi nombor khidmat pelanggan PTPTN di bawah ini:

  • Nombor telefon: 03–2193 3000

Pelajar yang layak dan ada membuat pinjaman PTPTN untuk pengajian mereka harus ambil peluang ini. Kalau reziki anda berjaya dapat insentif pengecualian mesti seronok. Yang paling penting anda memenuhi syarat pengecualian bayaran balik PTPTN yang telah ditetapkan.