Kelas Pemulihan Perkasa BM dan BI

Agenda pendidikan negara terutama di peringkat sekolah sememangnya memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan anjakan ke arah pendidikan bertaraf dunia terus berjalan dengan sempurna.

Dalam memenuhi tuntutan transformasi ini, perhatian kepada pelajar daripada kelompok yang agak lemah juga tidak boleh diabaikan dan harus diberi tumpuan khusus bagi memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding rakan lain.

Sejak Julai tahun lalu, seramai 30 murid tahun tiga dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu, Kelantan dipilih menyertai kelas bahasa yang dikendalikan tenaga pengajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kelas mingguan Bahasa Melayu dan Inggeris itu khusus buat murid kelas pemulihan iaitu yang mengalami masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira atau 3M dan ia merupakan program khidmat masyarakat USM di sekolah itu yang akan berakhir hujung tahun ini.
Menurut Guru Besar SK Tiong, Ismail Mat Akib, beliau amat menghargai bantuan pihak USM dan mencadangkan agar tempoh program dipanjang dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.

“Sekolah pinggir bandar seperti SK Tiong memerlukan sokongan dan kepakaran universiti dalam meningkatkan keupayaan 3M pelajar.

“Apabila ada pihak yang dapat menumpukan perhatian kepada mereka tanpa terlalu terikat dengan sukatan pelajaran, ia sudah tentu memberi manfaat yang lebih besar,” katanya kepadaUtusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Sementara itu, guru penyelaras program peringkat sekolah, Noor Hayati Abdul Ghazi pula berkata, pihaknya mendapati ada sedikit peningkatan yang ditunjukkan para pelajar selepas mereka mengikuti kelas berkenaan.

Beliau yang bertanggungjawab memilih kumpulan murid terlibat berkata, 15 orang murid menyertai kelas Bahasa Melayu manakala selebihnya kelas Bahasa Inggeris yang dijalankan setiap Khamis dari pukul 1.30 petang hingga 3 petang.

“Mungkin konsep santai yang lebih banyak menggunakan permainan bahasa dan minda serta nyanyian telah membuat pelajar lebih berminat belajar bahasa, pihak sekolah berharap agar objektif meningkatkan kemahiran 3M murid-murid kami tercapai,” katanya.

Ketua Projek Khidmat Masyarakat PPBLT, Helmey Zaneee Mohd. Zain, 27, pula memberitahu, tenaga pengajar seramai 14 orang dari Kampus Kesihatan USM bergilir-gilir datang ke sekolah itu setiap minggu untuk mengajar secara sukarela.

Katanya, selain bahan mengajar dan buku latihan, pelajar juga dibekalkan pihak USM dengan sedikit makanan sebagai alas perut memandangkan kelas diadakan sebaik sahaja tamat waktu persekolahan.

Salah seorang murid yang ditemui, Nur Zulfiqha Aina Zuki, 10, berkata, dia kini lebih yakin untuk menyebut perkataan dalam Bahasa Inggeris dan tidak berasa malu jika melakukan kesalahan kerana ia sebahagian daripada kaedah belajar.

Seorang lagi murid, Nor Irwan Shah, 10, pula berkata, dia tidak kisah terpaksa berada lebih lama di sekolah kerana berasa seronok belajar Bahasa Melayu dengan guru dari ‘universiti.’

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Fauzi Ismail dalam satu majlis ringkas di sekolah itu pada September tahun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia Online