Kolej PTPL dekati Orang Asli

KOTA BHARU 12 Jun – Penuntut Kolej PTPL Kota Bharu terus mendekati masyarakat apabila mengadakan program Bakti Kasih Perkampungan Orang Asli Kuala Koh di Gua Musang baru-baru ini.

Meskipun terpaksa mengharungi perjalanan selama empat jam, ia tidak melunturkan semangat 40 penuntut kolej berkenaan untuk menabur bakti kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan berkenaan.

Pengarah program, Muhammad Zakaria Yusof, 21, berkata, program itu julung kali dianjurkan oleh Unit Pembangunan Pelajar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Kelantan.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan program kemasyarakatan, namun dengan masyarakat Orang Asli ini merupakan kali pertama. Kami memilih perkampungan Orang Asli suku Bateq kerana inginkan sesuatu yang lebih mencabar selain mahu mendekati masyarakat pribumi itu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, program itu merupakan salah satu medium untuk menyemai sifat prihatin di kalangan penuntut terutama dalam menyumbangkan tenaga dan kemahiran bagi manfaat masyarakat yang memerlukan.

Muhammad Zakaria memberitahu, pada program tersebut pihaknya turut menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengesan penyakit darah tinggi dan kencing manis di kalangan masyarakat Orang Asli itu.

“Kami turut menyampaikan sumbangan alat tulis dan makanan kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Sementara itu seorang peserta, Khaw Lee Fen, 21, berkata, program tersebut memberi peluang kepadanya mengenali kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli.

“Program ini memberi pengalaman baru dan menguji kemahiran komunikasi para pelajar. Semoga program sebegini akan diteruskan pada masa yang akan datang,” katanya. – Utusan Malaysia