Perbuatan Membuli Dan Keganasan Dalam Kalangan Pelajar Perlu Dikawal

Senario yang semakin merunsingkan ibu bapa dan masyarakat di Malaysia pada masa kini ialah keganasan tingkah laku di sekolah terutamanya kejadian buli (Smith, Cowie, Olafsson & Liefooghe, 2002). Perbuatan buli yang berlaku dalam kalangan pelajar boleh mendatangkan kesan sehingga menjejaskan kesihatan seperti menghadapi masalah dalam tabiat makan dan berat badan (Farrow & Fox, 2010), mendatangkan kecederaan fizikal, kecederaan kekal termasuk maut (Anderson, Kaufman, Simon, Barrious, Paulozzi & Ryan, 2001 & Federal Bureau of Investigation, 1995), pengasingan daripada sosialisasi (Sharp, 1995 & Woods & Wolke, 2002), menjejaskan kualiti akademik (Glew, Fan, Katon, Rivara & Kernis, 2005), dan menghadapi masalah dalam membina hubungan sosialisasi dengan komuniti sekolah (Yoneyama & Rigby, 2006), serta mendatangkan masalah kesihatan mental (Kumpulainen & Rasanen’s, 2000).

Oleh yang demikian, perbuatan buli dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya pada usia muda perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak bukan sahaja keluarga, pihak sekolah, organisasi pendidikan bahkan masyarakat setempat.
Kes buli di sekolah di Malaysia

Buli dalam kalangan pelajar sekolah rendah merupakan indikasi kanak-kanak zaman sekarang mengalami perubahan zaman teknologi media yang mempengaruhi pembentukan personaliti dan tingkah laku (Dill, Redding, Smith, Surette & Cornell, 2011) sehingga menjadi ganas dan tidak terkawal. Justeru itu, buli dilihat sebagai ancaman besar dalam pembentukan sosialisasi positif antara masyarakat terutama komuniti setempat (Cheng, Newman, Qu, Mbulo, Chai, Chen & Shell, 2009 & Georgiou, Fousiani, Michaelides & Stavrinides, 2013). Ini bertentangan dengan landasan budaya timur yang terkenal dengan adab, sopan santun dan 114 amalan sikap hormat menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira umur, status sosial, status ekonomi, bangsa, agama, kepercayaan, adat dan warna kulit.
Kebanyakan kajian buli dilakukan di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar yang berdekatan dengan kemudahan (Yahaya, Boon, Hashim, Mustaffa & Muhamad, 2008; Yahaya & Ahmad, 2005; Saibon & Khairani 2006 & Khalid, 2007) moden seperti kompleks-kompleks membeli belah, capaian teknologi maklumat, kemudahan jalanraya dan kemudahan kenderaan awam yang memudahkan penduduk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan kawasan setempat yang lain. Ini secara tidak langsung memberikan kebebasan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan masyarakat setempat yang lain. Justeru itu, membuatkan serapan pemikiran, adab dan perlakuan (budaya) dan bentuk sosialisasi yang boleh menukar keadaan perlakuan, persepsi dan budaya masyarakat setempat tersebut (Wan Yusoff, Wan Abdul Kadir, 2005).
Perbuatan membuli dan keganasan di kalangan pelajar dan remaja perlu dikawal kerana budaya itu sekarang bertapak dalam masyarakat tempatan, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata secara umum, boleh dikatakan setiap hari keganasan dalam beberapa bentuk dilakukan sama ada di rumah, sekolah atau tempat lain.

Oleh itu, kerajaan bersama-sama dengan pihak berkepentingan yang lain perlu mencari sebab mengapa remaja di negara ini berkelakuan cara itu dan mengapa mereka mengingkari dan tidak menghormati undang-undang. “Saya percaya bahawa kita mesti menangani ‘budaya keganasan’ yang pada pendapat saya semakin menular dalam institusi pendidikan kita,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas insiden terbaharu pada Sabtu apabila seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dipukul, dilecurkan dan diliwat oleh sekumpulan pemuda kira-kira tengah malam di sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Lee berkata insiden itu berlaku tidak sampai dua minggu selepas seorang pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun selepas dia dikatakan dipukul oleh sekumpulan pelajar universiti di Serdang.
Lee juga berkata kerajaan perlu campurtangan untuk menangani masalah tersebut dengan sokongan daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, ahli psikologi dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Beliau berkata, pihak-pihak berkenaan antara lain, harus menumpukan kepada aspek kesihatan kerana ia boleh jadi satu daripada sebab utama bagi keganasan tersebut.

“Yang lebih membimbangkan, masalah itu juga melibatkan pelajar kerana nisbah mereka yang mengalami masalah mental telah meningkat daripada satu dalam 10 orang pada 2011 kepada satu dalam lima individu pada 2016,” kata beliau.

Menurut beliau, pakar-pakar merumuskan bahawa kebimbangan dan kemurungan sebagai punca utama masalah kesihatan mental di kalangan pelajar. Beliau berkata adalah penting Kementerian Pendidikan dengan bantuan guru dan kaunselor, mengenal pasti pelajar yang terdedah kepada keganasan dan memulakan program kaunseling bertujuan membantu individu yang menghadapi masalah mental sebelum mereka memusnahkan seseorang pada masa depan termasuk kehidupan mereka sendiri.

Konklusinya, peranan penting institusi keluarga di rumah ialah dengan mendidik dan menerapkan langkah-langkah menjaga keselamatan diri di sekolah. Kesedaran awal kepada perbuatan buli perlu disemai dalam diri pelajar. Walaupun, institusi sekolah merupakan tempat di mana pelajar sekolah rendah menghabiskan sebahagian masanya, keluarga merupakan model pengajaran dan pembentukan sahsiah terawal (Butler & Platt, 2008). Manakala, sekolah merupakan institusi formal penting dalam memastikan kes buli ini dapat dibanteras dan dikawal. Sekolah bertanggungjawab menjalankan aktiviti yang boleh membina sahsiah pelajar. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan adalah seperti kem ibadah, program mentor-mentee, minggu suai kenal pelajar baru dan senior tanpa adanya budaya ragging, program pembentukan sahsiah, kursus motivasi dan sebagainya. Justeru itu, fungsi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga adalah penting dalam membantu mengekang dan membanteras perbuatan buli di sekolah.
Bibliografi
Lee Lam Thye, Perbuatan membuli, keganasan di kalangan pelajar
Junainor Hassan, Salleh Abd Rashid, Suliadi Firdaus Sufahani, Mohd
Kasturi Nor Abd Aziz, Buli Di Kalangan Pelajar Sekolah Rendah Luar Bandar: Kajian Kes Di Kawasan Felda Utara Kedah-Perlis, Malaysia, Jurnal Psikologi Malaysia 30 (1) (2016): 113-125 ISSN-2289-8174, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussin Onn.