Peluang Pekerjaan Akauntan Di Malaysia Graduan Diploma Dan Ijazah Perakaunan

Peluang pekerjaan Akauntan di Malaysia untuk graduan diploma atau ijazah perakaunan. Sebut sahaja bidang perakaunan, masyarakat umum akan mengaitkannya dengan jawatan sebagai akauntan walaupun hakikatnya pelbagai jawatan boleh disandang oleh mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang perakaunan ini. Kerjaya akauntan ini memerlukan kemahiran serta kepakaran dan diakui ia tidak mudah didapati. Ramai pelajar sering bertanyakan soalan antaranya ialah ‘Aliran akaun boleh kerja apa?’. Kita akan mengupas isu ini lebih lanjut di bawah.

peluang pekerjaan akauntan di Malaysia

Untuk menceburi kerjaya akauntan, pengetahuan berkaitan peluang pekerjaan akauntan di Malaysia yang ada bukan sahaja penting kepada mereka yang sedang mencari bidang yang hendak diceburi tetapi juga mereka yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan ini. Pengetahuan tentang kerjaya akauntan akan membantu para pelajar dalam membuat keputusan berkaitan pemilihan kerjaya dan berupaya menjadikan seseorang individu itu lebih yakin, bersemangat, sentiasa bermotivasi, berpandangan jauh, serta tabah menghadapi segala kesukaran.

Tugas seorang kerjaya akauntan adalah menyediakan data yang diperlukan untuk menilai aktiviti ekonomi masa kini serta masa depan individu, perniagaan, organisasi dan badan-badan kerajaan. Selain menyediakan penyata kewangan dan merekodkan urusniaga perniagaan, mereka juga mengira kos dan keuntungan, mengambil bahagian dalam memantau prestasi kewangan, strategi, cukai, dan pengurusan pekerja.

Apabila anda mula mempertimbangkan peluang pekerjaan akauntan di Malaysia dalam bidang perakaunan, mungkin semasa berada di tahun akhir pengajian anda berfikir bahawa anda hanya layak menjadi seorang akauntan sahaja. Memang benar anda boleh mendapat segulung ijazah dalam bidang perakaunan dan menjadi seorang akauntan umum, memandangkan ia merupakan salah satu daripada banyak pilihan yang sedia ada. Sebenarnya terdapat banyak peluang kerjaya dalam bidang perakaunan seperti pengauditan, pengurusan dasar, sistem maklumat, cukai, operasi komputer, dan lain-lain lagi.

Antara bidang utama bagi kerjaya akauntan adalah pengauditan, analisis bajet, kewangan, pengurusan perakaunan, dan percukaian. Audit merupakan teras bagi kerja perakaunan. Kerjaya pengauditan melibatkan tugas memeriksa lejar perakaunan dan penyata kewangan dalam perniagaan, organisasi dan sebagainya.

Seterusnya, seorang penganalisa bajet bertugas untuk membangun dan menguruskan pelan kewangan sesebuah organisasi. Bidang tugas ini sangat memerlukan kemahiran kuantitatif yang baik untuk tugas ini bersama-sama dengan kemahiran kerana ia melibatkan tugas rundingan.

Akauntan kewangan pula akan merujuk maklumat dari lejar am untuk menyediakan penyata kewangan. Mereka juga mengambil bahagian dalam keputusan penting yang melibatkan status kewangan sesebuah perniagaan, juga melibatkan penggabungan dan pengambilalihan, manfaat perkerja, perancangan dan unjuran kewangan dalam jangka masa yang panjang.

Selain itu, skop kerja sebagai seorang Pengurusan Perakaunan pula adalah menyumbang kepada keputusan mengenai belanjawan modal dan analisis perniagaan. Tugas utama mereka termasuklah analisis kos, analisis kontrak dan usaha untuk mengawal perbelanjaan. Juga sebagai penyumbang utama kepada keputusan perniagaan serta bekerja bersama-sama pengurus pemasaran dan kewangan untuk mengembangkan perniagaan.

Di samping itu, bidang tugas sebagai seorang akauntan cukai pula adalah menyediakan penyata cukai pendapatan untuk sektor korporat dan peribadi. Mereka juga bertanggungjawab dalam usaha untuk menyediakan  mengurangkan cukai. Mereka sewajarnya menguasai serta memerlukan pemahaman yang menyeluruh mengenai ekonomi dan kod cukai.

Jenis-jenis kerjaya perakaunan juga merangkumi beberapa bahagian seperti firma perakaunan, sektor kerajaan, sektor korporat, dan juga sektor bebas. Firma  perakaunan terdiri daripada satu kumpulan akauntan bekerja dalam satu firma yang menyediakan perkhidmatan perakaunan kepada individu, perniagaan dan kerajaan.

Terdapat beberapa firma utama yang dominan dalam bidang ini. Kerjaya perakaunan awam akan memberi anda permulaan yang baik di mana anda boleh  menimba pengalaman sebelum mengorak langkah yang lebih jauh. Akauntan Kerajaan pula boleh bekerja di peringkat mana-mana jabatan kerajaan. Mereka bertugas sebagai menyediakan belanjawan, kos dan menganalisis inisiatif kerajaan.

Bagi sektor korporat pula kebiasaannya mempunyai seorang akauntan atau jabatan perakaunan yang menyediakan penyata kewangan, kos, mengendalikan cukai dan juga urusniaga utama. Manakala, bekerja sebagai akauntan bebas bermaksud menjana pendapatan melalui perniagaan anda sendiri.

Antara Institusi Pengajian Tinggi Awam yang menyediakan Kursus Perakaunan peringkat Ijazah dan  Diploma adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Islam Antarabangsa.

Perakaunan adalah intipati sesebuah perniagaan sama ada ia berbentuk pemilikan tunggal, perkongsian atau pun syarikat. Ia akan bergerak seiring dan berkembang mengikut rentak perniagaan. Justeru, mereka yang ingin menceburi bidang ini tidak perlu risau berkenaan ketandusan peluang pekerjaan. Selagi wujudnya perniagaan, selagi itulah peluang terbuka luas kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang perakaunan. pelunjuran Institut Akauntan Malaysia menunjukkan negara ini memerlukan antara 58 000 hingga 60 000 akauntan bertauliah pada tahun 2020.

Konklusinya, peluang kerjaya akauntan dalam bidang perakaunan sememangnya luas. Graduan berkelulusan perakaunan boleh menjawat jawatan akauntan di sektor awam dan swasta, juru audit, pendidik, pegawai bank, konsultan akaun, penasihat kewangan, dan lain-lain lagi. Selain itu, mereka yang berkelulusan perakaunan juga berpeluang menjawat jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi atau pun syarikat seperti Ketua Pengarah Eksekutif, Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan, Bendahari, dan sebagainya. Hal ini kerana mereka yang berkelulusan bidang perakaunan berkelayakan dan biasanya sangat teliti dalam pengurusan kewangan, yang menjadi nadi kepada jatuh bangun sesebuah perniagaan.

Semoga perkongsian mengenai peluang pekerjaan akauntan di Malaysia ini bermanfaat kepada anda. Penjelasan terperinci di atas mungkin boleh menjadi sebab memilih kerjaya akauntan untuk kerjaya masa depan anda.