Diploma Seni Kulinari Politeknik Pilihan Pelajar Lepasan SPM

Diploma Seni Kulinari Politeknik menjadi rebutan pelajar lepasan SPM. Fenomena industri hospitaliti, pelancongan dan kulinari adalah seusia dengan sejarah manusia itu sendiri. Mengikut sejarah dalam industri, pengurusan, kemahiran hospitaliti, dan kulinari diperolehi melalui program perantisan. Program hospitaliti, pelancongan dan kulinari tidak dianggap sebagai program pendidikan tinggi sehingga 1922.

Mohon tawaran biasiswa pelajar Malaysia >> DI SINI

Universiti Cornell adalah satu-satunya universiti pertama yang menawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang rersebut. Penawaran program hospitaliti pertama pada tahun 1922 adalah berikutan permintaan pihak industri dan Persatuan Hotel Amerika agar standard atau kualiti perkhidmatan hospitaliti dipertingkatkan. Beberapa dekad kemudian iaitu sekitar 1960-an, pendidikan tinggi dalam bidang hospitaliti, pelancongan dan kulinari mula berkembang pesat di Amerika Syarikat dan di tempat lain. Pendidikan hospitaliti dan kulinari di Malaysia bermula pada tahun 1967.
Pembangunan awal dalam pendidikan hospitaliti, pelancongan dan kulinari di Malaysia berfokus kepada vokasional atau pendekatan sistem dwi Jerman yang merangkumi kerjaya perantisan dan pendidikan vokasional. 
Kini, program hospitaliti pelancongan dan kulinari telah pun ditawarkan pada peringkat kolej, politeknik, dan universiti. Walaupun sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak memisahkan program yang berorientasikan akademik dan vokasional, kebanyakan pelajar yang memilih untuk mengikuti program pengajian ini adalah berasaskan pilihan kerjaya mereka. 
Walaupun, bidang hospitaliti, pelancongan dan kulinari merupakan satu disiplin akademik yang baru berbanding dengan disiplin lain namun, pendidikan hospitaliti, pelancongan dan kulinari ini telah berkembang dengan pesat untuk memenuhi kehendak semasa. Tidak hairanlah bidang Diploma Seni Kulinari Politeknik juga ada ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM.
Pertumbuhan pesat industri pelancongan dan kulinari telah meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan hospitaliti. Sejajar dengan perkembangan industri, permintaan untuk tenaga kerja terlatih dan cekap juga meningkat. Bidang Diploma Seni Kulinari Politeknik adalah antara kursus yang awal ditawarkan di Malaysia.

Kini, isu utama adalah untuk memastikan tenaga kerja yang kompeten dapat disediakan bagi memenuhi kehendak perniagaan yang semakin kompetitif. Sebagai tindak balas, pendidikan hospitaliti, pelancongan dan kulinari di Malaysia telah dibangunkan dalam pelbagai reka bentuk dan objektif mengikut di mana program itu ditawarkan. 

Disiplin hospitaliti, pelancongan dan kulinari telah diterima pakai sebagai satu bidang yang sangat kompleks dan mengandungi kepelbagaian bidang. Hal ini telah menimbulkan impak yang kompleks dalam usaha untuk membina model konseptual kurikulum serta mengimplimentasikannya dalam kehidupan seharian.

Pendidikan di Politeknik telah mula diperkenal di Malaysia melalui penubuhan politeknik pertamanya, Politeknik Ungku Omar di Ipoh di bawah United Nations Development Plan pada tahun 1969. Pendidikan ini diperkukuhkan dengan perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan pada tahun 1979 dan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan pertama (1985-1995). 

Kesemua perancangan termasuk perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai latihan (1991), telah membolehkan penubuhan lebih banyak politeknik serta penambahan program pengajian bagi memenuhi keperluan pekerja separa professional dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan.

Jemaah Menteri pada 26 Mac 2010 telah menimbang Memorandum Menteri Pengajian Tinggi (No. 198/2685/2010) dan bersetuju supaya ditubuhkan empat buah Politeknik Metro dalam RMKe-9 dan enam buah dalam RMKe-10. Sehingga kini terdapat 33 politeknik merentasi kesemua 14 negeri di Malaysia, dengan menggunakan kepakaran kira-kira 7,800 tenaga pengajar yang mendepani 92,000 orang pelajar melalui kira-kira 87 program pengajian yang ditawarkan.

Antara visi dan misi penubuhan politeknik adalah menjadi institusi TVET premier yang diterajui industri, menyediakan akses kepada program TVET yang berkualiti dan diiktiraf, membangunkan kurikulum yang dipimpin industri dan meningkatkan kesediaan graduan melalui penglibatan industri yang diselaraskan, menghasilkan graduan yang seimbang dan berdaya keusahawanan melalui program pengajian yang dinamik dan mampan, serta mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui kerjasama dan penyertaan aktif dalam komuniti TVET. 

Selain itu, antara objektif penubuhan politeknik adalah untuk melonjakkan Politeknik sebagai salah satu institusi peneraju TVET dalam bidang latihan teknikal pada peringkat diploma dan ke atas, mengukuhkan kerelevanan dan responsive program pengajian di Politeknik terhadap kehendak pembangunan ekonomi Negara, menerajui bidang tujahan dan teknologi tertentu bagi menghasilkan graduan berkualiti yang berdaya usahawan (enterprising), dan berkebolehpasaran tinggi dan berdaya saing, membina reputasi dan jenama baru yang mampu meletakkan Politeknik antara institusi pengajian terbaik Negara serta empelbagai dan meluaskan penawaran program yang mampu menarik pelajar ke Politeknik.

Bagi menyahut visi tersebut, Jabatan Pengajian Politeknik telah mewujudkan tiga kursus baharu iaitu pengurusan perhotelan, pelancongan dan seni kulinari bermula hujung tahun 2014 dan pertengahan tahun 2015. Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kurikulumnya, Zulkeply Abdul Samad berkata, tiga kursus baharu itu akan dilaksanakan di Politeknik Merlimau, Melaka dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru. Beliau berkata, penambahan program baharu itu bertujuan menampung keperluan semasa industri yang kian meningkat dalam bidang tersebut.

Diploma Seni Kulinari Politeknik

Semua program baharu itu akan dilaksanakan pada peringkat diploma iaitu Diploma Seni Kulinari Politeknik di Merlimau manakala program pengembaraan dan pelancongan di Politeknik Ibrahim Sultan. Sesi pengambilan pelajar untuk program Diploma Seni Kulinari Politeknik serta pengembaraan dan pelancongan akan bermula pada Jun tahun 2015 manakala pengurusan hotel bermula hujung tahun 2014. 

Menurut Zulkeply, setiap program baharu yang ditawarkan itu akan mengambil kira-kira seramai 40 orang pelajar pada setiap semester dengan tempoh tiga tahun untuk menamatkan pengajian. Dalam pada itu, beliau berkata, program yang ditawarkan di Politeknik Merlimau mendapat kerjasama kerajaan negeri Melaka bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri tersebut.

Konklusinya, Diploma Seni Kulinari Politeknik diharapkan mampu meningkatkan prestasi ekonomi di Malaysia berdasarkan perkara-perkara penting yang terdapat dalam bidang kulinari itu sendiri yang meliputi aspek kulinari Asia,  pastri, bakeri, latihan chef, seni kulinari, pengurusan kulinari, kuisin gastronomi dan sains kulinari