Universiti Teknologi Malaysia (UTM) beri pendidikan percuma

UTM sedia beri pendidikan percuma 8 tahun lagi menurut laporan akhbar Utusan Malaysia. Jika ini menjadi kenyataan ianya sesuatu yang amati ditunggu-tunggu. Selepas ini pelajar sudah tentu akan berebut-rebut untuk melanjutkan pelajaran ke University Teknologi malaysia (UTM).

Jika ini boleh menjadi kenyataan, kita harapkan institusi pengajina tinggi yang lain boleh mencari kaedah dan cara untuk mengikuti jejak langkah UTM untuk memberikan pendidikan percuma.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan pendidikan percuma dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, hasrat tersebut akan direalisasikan pada 2020 khusus untuk penuntut ijazah pertama di universiti itu.

Katanya, pembiayaan pengajian akan dibuat menggunakan dana daripada biasiswa Endowment UTM yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

“Pada 2020 jumlah keseluruhan penuntut kita ialah seramai 8,000 berbanding 12,000 penuntut sebelum ini dan kita akan turunkan sedikit demi sedikit jumlah kemasukan itu.

“Ini bermakna setahun kita akan ambil seramai 2,000 penuntut berbanding 2,300 setahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Impianku ke Menara Gading bagi Pelajar Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Setaraf Sesi Akademik 2012/2013 di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, UTM telah menganugerahkan biasiswa Endowment UTM berjumlah RM12 juta kepada 150 penuntut cemerlang universiti itu.

Seramai lima penuntut universiti itu menerima biasiswa yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Zaini, dana tabung itu diperoleh menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk orang ramai dan alumni universiti tersebut.

Katanya, tahun ini sahaja kutipan tabung itu mencecah RM40 juta.

“Kita mula tubuhkan pada 2010, tahun lepas kita berjaya kumpul dana sebanyak RM100 juta dan kita yakin tahun demi tahun kutipan akan meningkat. Dan tahun depan kita rancang bagi RM250 juta.

“Dari segi kutipan menerusi orang ramai dan hasil derma daripada alumni serta syarikat, pada tahun lepas sahaja kita berjaya dapat RM31.2 juta,” kata beliau.

Menurut Zaini, penubuhan tabung tersebut adalah untuk mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya yakin menjelang 2020 kutipan tabung tersebut mampu mencecah RM500 juta.

“Selepas ini kita akan ketatkan pengambilan pelajar ke UTM memandangkan pendidikan percuma yang diberikan dan pada masa kini purata Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) penuntut kita ialah 3.71,” katanya.