iTR1M Diberi Percuma Untuk Pelajar Di Selangor

iTR1M Selangor. iTR1M percuma untuk pelajar Selangor. iTR1M untuk pelajar UPSR, PMR dan SPM. Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang diberikan secara percuma kepada pelajar di Selangor yang bakal menduduki peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

Peruntukan sebanyak RM2 juta daripada dana khas bagi iTR1M juga mencerminkan keyakinan pembuat dasar kepada keupayaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk membantu murid mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik di samping melengkapi mereka dengan prinsip pembelajaran alaf ke-21.
Penggunaan ICT ini menepati salah satu prinsip utama dalam pembelajaran pada alaf ke-21 kerana ia membolehkan murid membuat capaian kepada alat dan sumber pendidikan secara 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Hal ini dapat direalisasikan kerana bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dibangunkan menggunakan ICT mudah diakses di mana-mana sahaja pada bila-bila masa asalkan ada capaian kepada Internet.

Kini capaian kepada Internet semakin mudah apatah lagi dengan adanya Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan pemberian Netbook 1Malaysia percuma kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

Maka iTRIM yang dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu secara tuisyen konvensional dan secara atas talian amat berfaedah dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Malah, penggunaan ICT membolehkan perkembangan kemajuan pelajar dipantau dan direkodkan secara sistematik dengan pantas serta tepat.

Perilaku dan minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran atau topik juga boleh dikenal pasti melalui pangkalan data yang dikumpulkan.

Apa pun, iTR1M dan penggunaan ICT dalam pendidikan pastinya bukan sebagai pengganti guru tetapi menjadi alat untuk memantapkan pemahaman serta persediaan murid menduduki peperiksaan.

Dari perspektif lain, iTR1M merupakan kesinambungan kepada aplikasi perdana sekolah bestari dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadikan ICT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan akademik pelajar.

Inisiatif sekolah bestari menjadi pencetus kepada pembangunan perisian multimedia bahan P&P atau courseware yang dibekalkan menggunakan cakera padat (CD-ROM) dan digunakan secara off line.

Namun begitu, saiz perisian yang berat dan durasinya yang panjang menjadi kekangan dalam proses P&P di bilik darjah.

Kemudian, kemajuan teknologi telah membolehkan pembangunan bahan P&P berasaskan laman sesawang (web based) yang lebih interaktif dan mudah dikemas kini sekiranya terdapat perubahan pada isi kandungan atau dalam sukatan pelajaran.

Permintaan tinggi dan potensi pasaran yang besar menyebabkan banyak laman sesawang atau portal berkaitan pendidikan dibangunkan bak cendawan tumbuh pada musim hujan.

Ada yang percuma tetapi majoriti mengenakan caj langganan.

Sama ada berbayar atau tidak, penggunaan bahan P&P melalui Internet terus mendapat permintaan kerana ia menepati perilaku serta keperluan generasi murid masa kini.

Malah, pada masa yang sama, bahan P&P yang berbentuk multimedia interaktif ini turut membantu membudayakan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar yang juga salah satu ciri atau prinsip pembelajaran alaf baharu.

Kini, dengan teknologi mobile yang semakin canggih dan rata-rata murid mempunyai telefon bimbit, maka bahan P&P yang bersifat aplikasi mudah alih dijangka menjadi pilihan pada masa depan.

Dengan adanya pelbagai peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet akan memudahkan pelajar membuat latih tubi dan mengulang kaji pelajaran.

Trend ini lebih menepati istilah sebenar ‘boleh digunakan di mana sahaja pada bila-bila masa’ berbanding penggunaan komputer riba.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada teknologi canggih yang boleh memeriksa jawapan soalan subjektif mengikut skema peperiksaan.

pendidikanmalaysia.com – iTR1M percuma untuk pelajar di Selangor ini memang baik untuk pelajar-pelajar kita. Persoalannya kenapa di Selangor sahaja. Ini menyebabkan program ini kelihatan seolah-olah hanyalah propaganda politik untuk menarik untuk. Ini kerana kita sedia maklum Negeri Selangor yang kaya kini diperintah oleh pembangkang.