Akaun SSPN-i Diberi Automatik Untuk Anak Melaka Mulai 2018

Akaun simpanan SSPN-i diberi secara automatik untuk anak Melaka mulai tahun 2018. Kerajaan Negeri Melaka melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) memberikan pendaftaran tabung pendidikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak-anak Melaka bermula tahun 2018.

Ini bermakna bayi baru lahir oleh penduduk Melaka berhak untuk menikmati kemudahan simpanan SSPN-i berjumlah RM20 yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2018.

Menurut Pengurus Besar Tapem, En. Mustafa Musa sejumlah RM500,000 akan diperuntukan sebagai modal permulaan untuk membuka akaun SSPN-i baru untuk semua bayi yang dilahirkan di Melaka tanpa mengira kaum dan agama.

Akaun SSPN-i automatik untuk anak melaka 2018

“Apabila ibu bapa mendaftar bayi mereka di Jabatan Pendaftaran Negara, secara automatik mereka akan diberi borang pendaftaran SSPN-i dan ia akan diuruskan PTPTN bagi kemudahan mereka apabila ingin melanjutkan pengajian kelak,” katanya.

Beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu semasa ditemui wartawan selepas majlis pelancaran bantuan sekolah rendah sumbangan kerajaan negeri sesi 2017 peringkat Parlimen Kota Melaka. Majlis itu telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh baru-baru ini.

Semasa majlis tersebut sebanyak 498 murid dari 48 sekolah rendah dalam Parlimen Kota Melaka menerima bantuan keseluruhan bernilai RM99,600. Setiap penerima bantuan telah menerima beg, pakaian, kasut dan kelengkapan sekolah bernilai keseluruhan sebanyak RM200.

Semasa ditemui Mustafa juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri melancarkan siri jelajah penyampaian bantuan melibatkan 4,000 penerima bantuan dengan nilai keseluruhan bantuan RM1 juta sejak 11 Desimber tahun lepas. Penerima bantuan adalah terdiri dari murid sekolah rendah kurang berkemampuan dari 28 buah Dewan Undangan Negeri (DUN) di 6 kawasan parlimen.

READ ALSO: Cara Pengeluaran & Penutupan Akaun Simpanan SSPN

“Selain itu, Tapem menyediakan bantuan terus termasuk Biasiswa Melaka berjumlah RM600 seorang yang keseluruhannya bernilai RM20.5 juta untuk kemudahan 12,133 pelajar tingkatan satu hingga lima.

“Untuk memasuki universiti pula kita ada pinjaman tanpa faedah mengikut kursus diambil dan pinjaman ini akan ditukar kepada biasiswa jika memperoleh keputusan cemerlang,” jelasnya.

Diharapkan skim akaun simpanan SSPN-i automatik untuk anak Melaka yang akan dilancarkan tahun depan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kemudahan kepada generasi baru Negeri Melaka.