Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 8)

Sesungguhnya, teknik pengajaran Rasulullah SAW penuh terselit sejuta hikmah dan kebijaksannaan. Sewaktu pengajaran Baginda, antara teknik yang digunakan adalah mumulakan muqaddimah yang lembut dalam perkara yang menimbulkan perasaan malu.

Contohi cara teknik pengajaran Rasulullah SAW

Anda juga digalakkan membaca entri kami yang terdahulu mengenai topik ini Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW Siri 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7

Sebagai contoh, seperti hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah, daripada Nabi bahawa Baginda bersabda: Sesungguhnya peranan daku terhadap kalian adalah seumpama seorang ayah terhadap anaknya di dalam mengajar kalian. Apabila kalian ingin menunaikan hajat sama ada membuang air kecil atau besar maka janganlah kalian menghadap kiblat dan jangan pula membelakanginya. Seterusnya, Baginda menyuruh menggunakan tiga biji batu ketika beristinja’ dan melarang daripada beristinja’ dengan menggunakan tahi najis binatang yang telah kering dan tulang juga melarang melakukan istinja’ dengan menggunakan tangan.

Sikap tawaduk yang ditunjukkan oleh Baginda, kasih sayang yang melimpah ruah, berlemah lembut dalam mengajar perkara yang disegani dan mengajar mereka agar berpegang kepada disiplin dalam setiap tindakan, urusan, dan perkara yang berkaitan dengan cara bersuci adalah perlu kita contohi bersama-sama bagi memastikan mesej dakwah dan ilmu yang disampaikan mendatangkan hasil yang optimum.

Selain itu, ada ketikanya baginda menggunakan teknik memadai dengan bahasa kiasan dan isyarat di dalam mengajar perkara yang agak disegani. Metod ini digunakan ketika menerangkan perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu apabila ia disebutkan.

Contohnya, seperti kisah yang pernah diriwayatkan daripada Sayyidah Aisyah: Sesungguhnya Sayyidah Asma’ binti Syakal bertanya Nabi tentang mandi haid lalu Baginda menjelaskan hendaklah  menggunakan air yang suci dan daun bidara iaitu sejenis daun yang boleh menghilangkan kotoran, membersihkan kulit dan melembutkannya. Kemudian, bersucilah dengan elok. Setelah itu, air dicurah di atas kepala dan disental dengan kuat sehinggalah sampai ke pangkal rambut. Selepas itu, tuangkan air padanya dan ambillah secebis kapas yang telah dibubuh minyak kasturi dan bersucilah dengannya dengan cara dibubuh pada tempat keluar darah bagi menghilangkan bau yang busuk.

Sayyidah Asma’ bertanya lagi, bagaimanakah cara bersuci dengan kapas ini? Subhanallah! Kamu bersucilah dengannya! Perkara seperti ini sepatutnya diketahui oleh kebanyakan wanita. Nabi pula malu hendak menyebutnya secara terus terang di mana kapas itu harus dibubuh sebab itulah Baginda hanya menyebut bersuci dengannya. Seterusnya, Sayyidah Aisyah menyambung seolah-olah ia menyembunyikan sesuatu, kenal pasti tempat keluar darah dan sucikanlah ia dengan kapas tadi bagi menghilangkan bau yang busuk dari kesan darah haid tersebut. Antara pengajaran yang diperolehi daripada hadis di atas adalah disunatkan menggunakan bahasa isyarat ketika mengajar perkara yang berkaitan dengan aurat. Penggunaan bahasa kiasan dan isyarat adalah memadai semasa menerangkan perkara yang menimbulkan perasaan malu sekiranya disebut secara terus terang.

Di samping itu, antara teknik yang seterusnya adalah memberikan tumpuan khusus terhadap wanita. Baginda amat mengambil berat untuk mengajar golongan wanita akan ilmu yang diperlukan oleh mereka dan mengkhususkan kepada mereka sebahagian waktu bagi tujuan tersebut. Contohnya , seperti hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ibnu Abbas beliau berkata: Saya pernah menyaksikan Rasulullah menunaikan solat hari raya sebelum berkhutbah. Kata Saidina Ibnu Abbas lagi: Kemudian, Baginda berkhutbah dan suara Baginda tidak didengari oleh kaum wanita kerana mereka berhimpun berasingan dari kaum lelaki. Baginda datang kepada mereka dan memberikan peringatan kepada mereka dan menyuruh mereka agar bersedekah. Saidina Bilal merentangkan pakaiannya dan kaum wanita tersebut mencampakkan cincin, anting-anting dan benda serta barang yang lain.

Antara intipati yang boleh dipelajari dari hadis di atas adalah disunatkan memberikan peringatan kepada golongan wanita dan mengingatkan mereka tentang hari akhirat dan hukum-hakam Islam serta menggalakkan mereka agar bersedekah. Perkara ini diharuskan sekiranya tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti timbulnya fitnah sama ada kepada guru, murid, atau selain daripada mereka berdua.

Seterusnya, antara teknik lain adalah Baginda akan marah dan bersikap tegas ketika perlu. Baginda sangat murka apabila seseorang murid berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya ditanya dan diperbincangkan. Sebagai contoh, seperti hadis yang telah diriwayatkan daripada Amru Bin Syuaib daripada ayahandanya Rasulullah keluar menemui para sahabat Baginda yang sedang bertengkar tentang masalah qadar iaitu ketentuan Allah ke atas hamba sejak azali lalu muka Baginda menjadi sangat merah seperti kemerahan biji delima lantaran terlalu murka.

Hal ini kerana Rasulullah terlalu murka terhadap para sahabat yang berselisih pendapat mengenai perkara yang berkaitan dengan qadar yang tidak sepatutnya bagi seorang hamba bertelingkah mengenainya. Kemarahan Baginda didorong kerana qadar itu merupakan rahsia Allah Taala dan mencari-cari rahsia Allah Taala ialah suatu yang ditegah.

Konklusinya,sememangnya Baginda Rasulullah SAW adalah seorang pendidik terulung yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk mengajar manusia mengenai agama Allah. Semoga segala teknik yang dikongsi dalam penulisan ini mampu dihadam serta diaplikasi buat warga pendidik di luar sana.